Home » Langit Terbuka » Malaysia komited beri sumbangan, bantuan kemanusiaan kepada Palestin

Malaysia komited beri sumbangan, bantuan kemanusiaan kepada Palestin

Perdana Menteri ketika menyampaikan perutusan khas untuk Palestin. - Foto Malakat Tribune

KUALA LUMPUR –  Malaysia secara konsisten akan terus memberikan sumbangan secara dua hala kepada Palestin sebagai bantuan kemanusiaan meringankan beban.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) seliaan Kementerian Luar, Malaysia menyumbang sebanyak USD10,000 (RM41,264) kepada Masjid Al-Aqsa tahun lalu.

Katanya, sumbangan berkenaan sudah disalurkan kepada Kementerian Awqaf, Jordan yang mentadbir Masjidil Al-Aqsa.

“Selain itu, bagi membantu kerajaan Palestin membendung wabak pandemik Covid-19, Kerajaan Malaysia turut menghulurkan bantuan kepada Palestin dalam bentuk barangan perubatan, iaitu satu juta pelitup muka, 500,000 pelindung muka (faceshields) dan 500,000 sarung tangan getah.

“Sumbangan itu dihantar menerusi pesawat sewaan khas ke Amman, Jordan pada 10 Mei 2020.

“Malaysia juga menyumbang sebanyak USD120,000 (RM495,173) kepada United Nations Relief and Works Agency in the Near East (UNRWA) bagi menampung kos operasi dan programnya bagi 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas berkenaan isu Palestin yang dipancarkan secara langsung di saluran televisyen RTM, Bernama TV, TV3 dan Astro Awani, hari ini.

Menurutnya, Malaysia memberikan sokongan yang padu serta sumbangan kepada UNRWA secara konsisten sejak 1978.

“Sejak 2015, Malaysia menyumbang sebanyak USD600,000 (RM2.5 juta) kepada UNRWA.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan keprihatinan badan-badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia serta rakyat Malaysia yang sentiasa membantu rakyat Palestin.

“Sehubungan itu, saya menyeru supaya memberikan sumbangan kepada rakyat Palestin menerusi tabung sah yang diwujudkan untuk tujuan ini.

“Segala usaha dan sumbangan semua amatlah bermakna bagi rakyat Palestin. Marilah kita semua mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin yang kini sedang ditindas dan dizalimi oleh rejim Israel,” katanya.

Beliau mengajak semua berdoa semoga rakyat Palestin akan mendapat perlindungan daripada kezaliman rejim Israel dan pencerobohan haram Israel ke atas bumi Palestin segera berakhir.

Rejim Zionis Israel sekali lagi melakukan pencerobohan dan serangan ganas ke atas rakyat Palestin, bermula 7 Mei lalu dengan serangan di Masjid Al-Aqsa, tempat suci ketiga umat Islam.

Kemudian, diikuti dengan serangan udara tentera rejim Israel di Semenanjung Gaza sejak 10 Mei lalu. – Harian Metro

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *