Home » Langit Terbuka » Malaysia kutuk serangan dron di Arab Saudi

Malaysia kutuk serangan dron di Arab Saudi

Malaysia memandang serius dan mengutuk serangan ke atas fasiliti minyak Arab Saudi kerana ia berpotensi menyebabkan krisis, kata Menteri Luar. - Foto The New York Times

KUALA LUMPUR – Malaysia mengecam serangan dron ke atas loji minyak Aramco di Arab Saudi yang dikhuatiri boleh menjejaskan kestabilan dan keselamatan rantau Timur Tengah.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau mengambil maklum mengenai keadaan yang sedang berlaku dan Malaysia akan sentiasa memantau serta mengikuti perkembangan tersebut.

“Pertama, kita tidak suka peperangan tetapi apabila serangan serangan berlaku ke atas orang awam berlaku kepada aset, ekonomi sesebuah negara. Memang itu tindakan yang tidak baik.

“Kita sedang melihat perkembangan ini. Kita memang risau bila perkara sedemikian berlaku kerana ia boleh menimbulkan (krisis) di samping soal keamanan ia boleh menimbulkan kesan terhadap harga minyak dunia.

“Jadi kita pantau keadaan ini. Pendirian kita, perkara perkara seperti ini perlu dielakkan dan kita harap ia tidak akan berlanjutan. Kita sentiasa memandang serius dan mengecam serangan serangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pertukaran Program Bola Keranjang Malaysia -China turut dihadiri Duta China ke Malaysia, Bai Tian di Wisma MABA Kuala Lumpur hari ini (17 September).

Terdahulu, Putera Abdulaziz Salman dalam kenyataan disiarkan agensi berita SPA sebelum ini berkata, Arab Saudi menggantung pengeluaran di dua loji minyak Aramco yang diserang pemberontak Yaman.

Menteri Tenaga Arab Saudi itu berkata, serangan menyebabkan penggantungan sementara pengeluaran di loji Abqaiq dan Khurais yang membawa kepada gangguan kira-kira 50 peratus pengeluaran keseluruhan.

Aramco dalam kenyataan berasingan pula menjelaskan serangan itu mengakibatkan penggantungan pengeluaran sebanyak 5.7 juta tong minyak mentah sehari.

Serangan dron pemberontak Houthi ke atas Abqaiq dan Khurais, dua kemudahan utama Aramco di timur Arab Saudi adalah yang terbaharu dalam siri serangan ke atas loji minyak negara itu sejak beberapa bulan ini. – Sinar Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *