Home » Langit Terbuka » Malaysia-Maldives perkukuh kerjasama Islam, pertahanan

Malaysia-Maldives perkukuh kerjasama Islam, pertahanan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Hal Ehwal Islam Maldives, Dr Mohamed Shaheem Ali Saeed ketika sidang media bersama di pejabat Presiden, Male hari ini. - Foto BERNAMA

MALÉ: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mewakili Malaysia di majlis pertukaran dua memorandum persefahaman (MoU) dengan Maldives yang merangkumi kerjasama dalam hal ehwal Islam dan pertahanan.

Pertukaran MoU itu berkenaan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu di Pejabat Presiden di sini hari ini, selepas perbincangan dua hala antara mereka.

Pertukaran MoU mengenai kerjasama dalam hal ehwal Islam dilakukan Menteri Hal Ehwal Islam Maldives, Dr Mohamed Shaheem Ali Saeed dan Johari bagi pihak kerajaan masing-masing.

Manakala pertukaran MoU mengenai kerjasama pertahanan dilakukan oleh Menteri Pertahanan Maldives.

Turut hadir ialah Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka dan Maldives, Badli Hisham Adam.

MoU berkaitan kerjasama halal dijangka memperkukuh kolaborasi dalam pembangunan industri berkenaan, merangkumi perkongsian ilmu, piawaian, pensijilan, pembangunan kapasiti serta promosi produk dan perkhidmatan halal.

Kerjasama itu juga bakal membuka peluang lebih luas kepada pemain perniagaan Malaysia dan Maldives untuk menembusi pasaran ekonomi halal global yang kian berkembang, sekali gus memudah cara jalinan lebih rapat antara pihak berkuasa dan pemain industri kedua-dua negara.

Sementara itu, MoU kedua memberi tumpuan kepada keselamatan maritim, bidang berkeutamaan strategik buat Malaysia dan Maldives sebagai negara maritim yang bergantung kuat kepada hasil dan laluan lautan.

Anwar berkata, sebagai sebuah negara maritim, Maldives memberi penekanan khusus terhadap kerjasama sektor itu, termasuk dari segi keselamatan dan latihan.

“Maldives ialah negara maritim yang amat mementingkan kerjasama maritim, selain keselamatan, latihan serta keselamatan pelayaran yang akan terus kita terajui,” katanya kepada media Malaysia selepas menyempurnakan program rasmi di Pejabat Presiden di sini, hari ini.

Perjanjian itu dijangka menyediakan rangka kerja bagi kerjasama lebih erat untuk memperkukuh keupayaan keselamatan maritim, berkongsi kepakaran serta maklumat, selain menangani cabaran lautan secara bersama.

Kedua-dua MoU itu sebahagian daripada usaha Kuala Lumpur dan Malé menterjemahkan hubungan dua hala yang lama terjalin kepada bentuk kerjasama lebih substantif dan praktikal.

Mengenai hal ehwal Islam, Anwar berkata status Maldives sebagai negara Islam membuka ruang luas untuk memperdalam kerjasama meliputi bidang halal, dakwah, hal ehwal umat Islam, wakaf dan pengurusan haji.

Pada sidang media bersama kemudiannya, Muizzu berkata perjanjian itu akan membuka laluan baharu untuk kerjasama praktikal, sekali gus memperkukuh asas institusi hubungan dua hala Malaysia-Maldives.

“Hari ini, kita menyaksikan pertukaran perjanjian kerjasama baharu dalam dua bidang penting iaitu pertahanan dan akidah Islam.

“Perjanjian ini membuka ruang baharu untuk kerjasama praktikal dan seterusnya memperkukuh asas institusi hubungan dua hala kita,” katanya.

Perjanjian itu menyaksikan Malaysia dan Maldives mula memperluas kerjasama melampaui bidang tradisional, dengan kedua-dua pihak mengenal pasti peluang baharu dalam perdagangan, pelaburan, tenaga boleh baharu, infrastruktur digital, pembinaan, kewangan Islam, pelancongan, pendidikan dan ekonomi biru.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/09/1635227/malaysia-maldives-perkukuh-kerjasama-islam-pertahanan#google_vignette

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *