Home » Langit Terbuka » Malaysia sasar beri sumbangan RM100 juta untuk Palestin

Malaysia sasar beri sumbangan RM100 juta untuk Palestin

JEMAAH mengaminkan doa pada Majlis Zikir Perdana Sedunia 2023 di Masjid Putra malam ini. FOTO Bernama

Putrajaya: Malaysia mensasarkan untuk memberikan sumbangan RM100 juta bagi membantu serta mendukung perjuangan rakyat Palestin, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata sebagai permulaan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat semalam telah menyatakan komitmen Malaysia membantu Palestin dengan penyaluran dana RM10 juta.

“Sasaran kita berikan bantuan RM100 juta yang terbesar dalam sejarah negara kerana kita dukung perjuangan rakyat Palestin,” katanya ketika berucap merasmikan Zikir Perdana Sedunia 2023 di Masjid Putra di sini hari ini.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Oktober mengakibatkan kehilangan ratusan nyawa kedua-dua belah pihak.

Pada 9 Oktober lalu, Ahmad Zahid berkata Malaysia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) agar mengambil tindakan segera meminta semua pihak menghentikan segala tindakan keganasan dan pertempuran di Semenanjung Gaza ketika ini.

Ahmad Zahid berkata umat Islam di Malaysia perlu mengetepikan perbezaan terutamanya dari segi pegangan politik sebaliknya mendukung perjuangan rakyat Palestin ketika ini.

Beliau turut memuji pendirian semua Ahli Parlimen yang tidak menyanggah kenyataan dibacanya bagi pihak Malaysia di Dewan Rakyat pada 9 Oktober lalu berkenaan Palestin.

“Kita sebagai sebuah negara berpaksikan Islam sebagai agama Persekutuan dihormati rakan negara jiran dan Islam lain,” katanya.

Mengenai program Zikir Perdana Sedunia hari ini, Ahmad Zahid berkata program itu wajib dilaksanakan pada masa akan datang sebagai lambang penyatuan ummah.

Zikir Perdana Sedunia 2023 bertemakan Islam is The Answer menampilkan program seperti Munajat Cinta, Khatam Al-Quran Perdana, Simposium Peradaban Ihsan, Syair dan Qasidah Melayu, Tahlil Perdana dan zikir munajat.

Ini merupakan edisi keempat penganjuran Zikir Perdana Sedunia selepas diadakan pada 2015, 2016 dan 2017.

Artikel Berkaitan

SEBATI Madani Pulau Ketam

Ia bermula dengan tazkirah Maghrib oleh Daie Muda YADIM (DMY), Khairun Najmi Fadzil pada 26 Februari dengan tajuk ‘Metodologi Dakwah Rasulullah SAW’

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *