Home » Langit Terbuka » Malaysia sedia jadi hab kepada pelajar dari negara bergolak

Malaysia sedia jadi hab kepada pelajar dari negara bergolak

Idris beramah mesra bersama wakil-wakil pelbagai organisasi dalam negara dan luar negara selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Peningkatan Peluang Pendidikan (ICEEO) yang bertemakan "Ke arah Pendidikan Tinggi Yang Mampan" anjuran Organisasi Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Antarabangsa (IESCO) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA 20 Jan. – Malaysia bersedia menjadi hab yang menawarkan akses kepada  pendidikan berkualiti untuk pelajar kurang bernasib baik dari negara-negara  bergolak, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian berdasarkan pelbagai inisiatif yang diambil kerajaan untuk mengubah sistem pendidikan tingginya yang menyaksikan penambahbaikan ranking universiti tempatan dalam penarafan tempatan dan juga dunia.

Katanya pelajar terbabit boleh mengakses pendidikan di negara ini dengan datang ke Malaysia ataupun menerusi pengajian dalam talian bergantung pada penajaan yang diperoleh mereka serta akses asas seperti sambungan Internet.

“Sistem pendidikan di Malaysia berbeza kerana purata nilai gred kumulatif bersepadu (ICGPA) kita akan memastikan universiti menghasilkan lulusan yang seimbang dan  holistik.

“Menerusi ranking dan pencapaian kita, sudah pasti kita boleh memainkan peranan menyediakan pendidikan inklusif bagi yang kurang bernasib baik dari kawasan seperti Yaman, Palestin, Syria, Lebanon dan Rohingya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Antarabangsa (IESCO) di sini, hari ini.

IESCO merupakan badan bukan berasaskan keuntungan bebas yang berpangkalan di Malaysia. Ia bermatlamat menyokong serta membangunkan sektor pendidikan, kebudayaan dan saintifik di dunia Arab dan Islam khususnya di kawasan miskin.

Mengenai persidangan dua hari yang dihadiri oleh 250 peserta dari 35 negara itu, Idris berharap ia dapat mencapai objektifnya untuk membantu dan membuka peluang dalam sektor pendidikan, kebudayaan dan saintifik di negara-negara  Arab dan Islam menerusi penajaan dan sumbangan kepada pelajar dari kawasan miskin dan  bergolak serta yang berstatus pelarian.

Antara isu yang dibincangkan dalam persidangan itu ialah mengenai cabaran dan realiti pendidikan di zon Konflik di Timur Tengah, masa depan pembangunan sektor pendidikan selain mengkaji kejayaan modul-modul pendidikan antarabangsa.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah IESCO, Prof Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata, pada masa ini pertubuhan tersebut menaja 100 pelajar dari negara bergolak dan berharap untuk menaja 500 lagi pelajar dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Setakat hari ini kita ada dana sekitar RM2 juta yang disumbang oleh penyumbang tetap iaitu beberapa pertubuhan di Malaysia,” katanya.

Pada majlis sama, Idris turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara IESCO dan empat institusi pendidikan tinggi iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Tenaga Nasional  dan Universiti Islam Gaza.

Kerjasama itu antara lain bertujuan menyediakan sokongan kewangan bagi membantu pelajar dari negara-negara berkonflik, mengadakan program pertukaran pelajar serta  menjalankan  kajian mengenai pembangunan pendidikan pelajar. – Bernama

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *