Home » Langit Terbuka » Mapim cabar ketua sami Buddha Malaysia desak Wirathu henti keganasan

Mapim cabar ketua sami Buddha Malaysia desak Wirathu henti keganasan

BANGI, 13 Dis. – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa ketua sami Buddha di Malaysia mendesak rakan sejawatnya di Myanmar menghentikan segera penindasan ke atas umat Islam di negara itu.

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, meskipun ketua sami Buddha di Malaysia sudah mengeluarkan kenyataan mengutuk keganasan yang dilakukan oleh puak ekstremis Buddha di Myanmar, namun, ianya tidak memadai.

Katanya, pihaknya berpendirian meskipun terdapat penafian bahawa pergolakan di Myanmar, terutama di negeri Rakhine bukan bersifat konflik agama, namun, hakikatnya penggerak kepada penindasan umat Islam Rohingya itu ternyata adalah oleh seorang ketua Buddha iaitu Ashin Wirathu.

“Ashin Wirathu yang memimpin gerakan anti-Islam sejak 2012 di Myanmar di bawah nama Gerakan 969, sebuah gerakan Buddhis Nasionalis.

“Bermula dari kempen 969 itu, dia menyeru penganut Buddha di seluruh Myanmar jangan berurusniaga dengan Muslim, jangan menjual sebarang harta kepada Muslim dan melarang sebarang wanita Buddha berkahwin dengan mana-mana lelaki Muslim.

“Malah, sami-sami yang menjadi pengikut kepada Wirathu melancarkan kempen membenci umat Islam dengan pelbagai gelaran yang membawa kepada kebencian yang mendalam terhadap kaum minoriti etnik Muslim seperti anjing gila, teroris, penceroboh dan Muslim mempunyai Master Plan,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, Wirathu yang berniat jahat telah berulang-ulang kali menuduh Muslim sebagai kasar dan ganas, serta menyebarkan peringatan kepada penganut Buddha bahawa tindakan ke atas Muslim, kononnya wajar dilakukan untuk melindungi Myanmar dan agama Buddha.

Bahkan, Wirathu turut mendakwa dalam setiap komuniti Islam wujud pengganas Muslim yang dibiaya oleh pihak luar untuk mengancam keselamatan Myanmar.

Susulan itu, Mapim menggesa ketua sami Buddha di Malaysia agar menulis dan menegaskan kepada ketua Buddha di Myanmar, bahawa mereka perlu berusaha menghentikan penganut ekstremis Buddha di bawah Wirathu daripada menindas dan mengganas terhadap masyarakat Islam di Myanmar.

Ketua sami Buddha Malaysia juga perlu menghantar delegasi Buddha dari Malaysia ke Myanmar untuk menyampaikan pendirian bahawa gerakan Nasional Buddha yang diketuai Wirathu perlu dihentikan dan kembali kepada ajaran Buddha yang menolak pembunuhan dan keganasan.

Tidak kurang dengan itu, bagi menyatakan keseriusan sami-sami Buddha di Malaysia dalam menentang keganasan ini, maka perlulah dianjurkan perhimpunan komuniti Buddha di seluruh Malaysia untuk menyatakan pendirian menolak dan mengutuk keganasan ke atas Muslim Rohingya di Myanmar.

Diusulkan juga agar ketua sami Buddha Malaysia menulis surat kepada Dalai Lama sebagai antara pemimpin Buddha dunia dan Majlis Buddhis Sangha SeDunia (World Buddhis Sangha Council) supaya berusaha menekan ketua dan sami Buddha di Myanmar menghentikan keganasan.

Ketua sami Buddha Malaysia juga perlu menganjurkan dialog agama bagi mengeluarkan resolusi dan pendirian terhadap keganasan di Myanmar.- https://www.ismaweb.net/

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *