Home » Langit Terbuka » Martabat semula mahkamah syariah setaraf mahkamah sivil

Martabat semula mahkamah syariah setaraf mahkamah sivil

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria.

IPOH – Susulan keputusan Mahkamah Persekutusan terhadap kes penukaran agama tiga anak M Indira Gandhi, kelmarin, kerajaan negeri disaran supaya membuat pindaan dengan meletakkan penubuhan Mahkamah Syariah dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata, pindaan tersebut berupaya mengangkat Mahkamah Syariah setaraf dengan Mahkamah Sivil.

Menurutnya, peruntukan Mahkamah Syariah perlu diperluaskan supaya memberi ruang kepada orang bukan Islam hadir ketika perbicaraan dan tidak terhad kepada orang Islam sahaja.

“Mahkamah Syariah juga tidak sepatutnya dianggap sebagai satu entiti yang berada di luar institusi kehakiman sekaligus meletakkannya pada kedudukan yang lebih rendah.

“Saya secara peribadi dan dengan rasa penuh kecewa tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengenepikan perintah Mahkamah Rayuan dengan memutuskan penukaran agama tiga anak Indira Gandhi kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Mufti Perak, hari ini.

Harussani turut menganggap keputusan itu sebagai satu pencabulan terhadap ketinggian agama Islam malah lebih menyedihkan apabila majoriti panel hakim yang membicarakan kes berkenaan beragama Islam.

Beliau berkata, dari kacamata Islam, apabila ibu bapa atau salah seorang daripada mereka memeluk Islam, maka anak mereka juga dikira memeluk Islam.

“Jumhur ulama berpandangan bahawa anak-anak adalah pengikut agama Islam sama ada yang memeluk Islam itu ibu ataupun bapa. Kaedah Fiqh telah menetapkan si kecil akan mengikut salah seorang ibu bapa yang terbaik dari sudut agama. Ini bermakna, seorang anak akan menjadi Islam apabila ibu atau bapanya memeluk Islam kerana Islam adalah agama terbaik.

“Saya merasa hairan kerana Mahkamah Persekutuan kali ini menggunakan takrifan parent atau ibu bapa secara majmuk dalam kes ini sedangkan dalam kes lain seumpama ini iaitu kes R Subashini melawan T Saravanan pada tahun 2007, mahkamah sama membuat keputusan bahawa salah seorang ibu atau bapa boleh membuat keputusan menentukan agama anak tanpa perlu persetujuan pasangan,” katanya.

Harussani berpandangan, keputusan Mahkamah Rayuan itu merugikan agama dan umat Islam malah boleh disifatkan sebagai tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, dalam Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan bahawa Islam merupakan agama Persekutuan.- SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *