Home » Analitis » Masa Depan Kerja Hibrid: Keseimbangan Antara Fleksibiliti dan Produktiviti

Masa Depan Kerja Hibrid: Keseimbangan Antara Fleksibiliti dan Produktiviti

Photo by BandLab on Unsplash

Oleh Siti Fatimah Kharud-din
Unit Komunikasi Korporat dan Antarabangsa YADIM

Selari dengan inisiatif kerajaan menerusi pelaksanaan Dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) serta Dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH) dalam perkhidmatan awam, evolusi landskap pekerjaan kini menyaksikan model hibrid menjadi norma baharu perkhidmatan moden.

Gabungan antara fleksibiliti bekerja dari rumah dan keperluan hadir ke pejabat ini menawarkan satu fenomena baharu yang berupaya menangkis persepsi konvensional bahawa keberadaan di pejabat adalah satu-satunya kayu ukur produktiviti. Selain menyumbang kepada penjimatan kos operasi seperti penggunaan tenaga elektrik di pejabat serta mengurangkan kos bahan api kenderaan untuk berulang-alik, timbul persoalan utama: sejauh manakah fleksibiliti ini mampu menyokong produktiviti tanpa mengorbankan kesejahteraan diri dan nilai integriti pekerja?

Jika ditelusuri daripada sudut pandang Islam, fleksibiliti dalam pekerjaan amat selari dengan prinsip kemudahan (taysir). Kelonggaran untuk bekerja dari rumah memberikan keringanan yang nyata, terutamanya dari segi penjimatan perbelanjaan bahan api, sama ada yang ditanggung oleh kerajaan menerusi subsidi mahupun perbelanjaan kendiri pekerja. Keadaan ini secara langsung memudahan urusan para pekerja yang perlu berulang-alik dari jarak jauh.

Walau bagaimanapun, kebebasan yang diberikan ini menuntut tahap amanah yang tinggi. Cabaran utama model kerja hibrid adalah kesukaran memisahkan batas antara waktu rehat dengan waktu bekerja, di samping risiko penurunan tahap disiplin kendiri. Di sinilah nilai Itqan (kesempurnaan dan ketelitian kerja) serta kesedaran Muraqabah (merasakan pengawasan Allah) memainkan peranan yang amat penting. Setiap tugasan yang disempurnakan bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan majikan semata-mata, malah merupakan satu bentuk ibadah yang akan dihitung dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Bagi organisasi seperti Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), pendekatan hibrid perlu diimbangi dengan ekosistem sokongan yang kukuh. Pengurusan berasaskan hasil (outcome-based management), komunikasi yang terbuka, serta pemanfaatan teknologi digital menjadi tunjang utama kepada produktiviti. Pada masa yang sama, aspek kesihatan mental dan fizikal (Hifz al-Nafs) mesti sentiasa dipelihara agar pekerja terhindar daripada kelesuan emosi dan fizikal (burnout).

Masa depan kerja hibrid pada akhirnya bergantung kepada keupayaan majikan dan pekerja dalam menyatukan fleksibiliti moden dengan pasak etika Islam. Apabila fleksibiliti diiringi rasa tanggungjawab dan produktiviti didasari niat ikhlas kerana Allah, modal insan yang terhasil bukan sahaja cekap secara profesional, malah mempunyai keperibadian rohani yang kukuh.

Keseimbangan inilah yang bakal memacu keberkatan dalam kerjaya, memakmurkan ummah secara berterusan, serta melestarikan agenda dakwah, sama ada menerusi tugasan di lapangan mahupun hasil kerja secara hibrid.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *