Home » Langit Terbuka » Masjid jadi mangsa ‘jenayah kebencian’

Masjid jadi mangsa ‘jenayah kebencian’

Perbuatan khianat menyemarakkan Islamophobia

FLORIDA 13 Sept. – Sebuah masjid yang pernah dikunjungi Omar Mateen, lelaki bersenjata yang menyebabkan berpuluh-puluh orang terbunuh di sebuah kelab malam di Orlando beberapa bulan lalu, rosak teruk dalam satu kebakaran kelmarin.

Kebakaran yang dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat itu menyemarakkan sentimen Islamophobia di Amerika Syarikat (AS) ketika ini.

Insiden tersebut didakwa telah dirancang kerana berlaku selepas sambutan ulang tahun mempe­ringati mangsa tragedi 11 September serta permulaan sambutan Aidiladha.

Menurut ABC News yang memetik kenyataan Pejabat She­rif St. Lucie, Mejar David Thompson, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan kebakaran di Pusat Islam Fort Pierce Ahad lalu itu melibatkan ‘jenayah kebencian’.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian yang berlaku di sudut bangunan utama masjid itu.

Thompson berkata, rakaman yang diambil daripada kamera litar tertutup (CCTV) masjid me­nunjukkan kelibat seorang lelaki bermotosikal yang membawa botol berisi cecair dan kertas menghampiri bangunan itu dan beredar selepas api mulai marak.

“Tindakan individu ber­kenaan seperti mencipta keganasan dalam komuniti kerana kami tidak tahu di mana dia berada dan apa yang mampu dilakukannya,” kata jurucakap Majlis Perhubu­ngan Penduduk Amerika-Islam Florida, Amr Ruiz.

Selain Omar yang mati ditembak polis dalam kejadian di sebuah kelab malam di Orlando itu, ba­panya, Seddique Mateen juga kerap mengunjungi masjid ber­kenaan.

Pembantu imam masjid, Ha­maad Rahman pula berkata, masjid itu kerap menjadi sasaran gangguan khususnya sejak kejadian pembunuhan beramai-ramai di kelab malam tersebut dan masjid itu telah dibina lebih 20 tahun lalu.

“Pada mulanya, jemaah masjid sering diugut. Kemudian, ada beberapa orang pemandu yang sengaja melanggar lopak air me­ngenai para jemaah yang pulang daripada menunaikan solat Jumaat.

“Ada juga kes seorang jemaah dipukul di kawasan letak kereta ketika datang menunaikan solat pada awal pagi dan kebakaran ini merupakan kejadian terbaharu di masjid ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hamaad memberitahu, komuniti Islam akan bekerjasama membaik pulih ke­rosakan pada masjid tersebut.

https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *