Home » Langit Terbuka » Masjidil Haram, Masjid Nabawi siar secara langsung solat tarawih Ramadan ini

Masjidil Haram, Masjid Nabawi siar secara langsung solat tarawih Ramadan ini

Saluran TV Islam tanah air, TV AlHijrah juga akan menyiarkan secara langsung solat sunat Tarawih sepanjang Ramadan dari tanah suci bermula jam 1 pagi, dan siaran ulangan pada setiap jam 9 malam. -Foto Facmy Kasofa

KUALA LUMPUR: Pekeliling yang dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan (KHEIDB) Arab Saudi berkaitan persediaan masjid-masjid di Arab Saudi untuk menyambut Ramadan 1444H yang tular baru-baru ini tidak terpakai kepada Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Memetik hantaran Facebook petugas di Konsulat Arab Saudi di Kuala Lumpur, Ahmad Fazrin Yahaya, pekeliling tersebut bukan perkara baharu, sebaliknya peringatan kepada arahan terdahulu.

“Perlu difahami, KHEIDB hanya bertanggungjawab mengawal selia masjid-masjid seluruh Arab Saudi, tetapi tidak termasuk al-Haramain Al-Syareefain iaitu Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Kedua-dua masjid suci ini ditadbir urus oleh Lembaga Pentadbiran Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi di bawah kepimpinan al-Syaikh Dr Abdul Rahman Abdul Aziz al-Sudais.”

Menurutnya pekeliling itu antaranya menyebut mengenai larangan penyiaran secara langsung solat Tarawih.

“Perlu difahami, majoriti imam-imam masjid di Arab Saudi sangat tidak gemar untuk solat mereka disebarkan meluas sama ada secara langsung atau rakaman,” jelas Ahmad Fazrin.

Selain larangan penyiaran secara langsung solat Tarawih, pekeliling itu turut menyentuh tentang tindakan mengehadkan penggunaan pembesar suara, menasihati agar jemaah tidak membawa kanak-kanak untuk mengelak gangguan, dan berbuka puasa di halaman masjid, bukan di dalam masjid.

Dalam pada itu, saluran TV Islam tanah air, TV AlHijrah juga akan menyiarkan secara langsung solat sunat Tarawih sepanjang Ramadan dari tanah suci bermula jam 1 pagi, dan siaran ulangan pada setiap jam 9 malam. –AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *