Home » Persuasif » Melayu, muda, mulhid

Melayu, muda, mulhid

Oleh AMIRUL EQHWAN RAHIM

Melayu dan Islam amat sinonim dalam konteks Negara Malaysia. Apabila seseorang itu berbangsa Melayu, maka dia ‘wajib’ beragama Islam. Bahkan, dalam Perlembagaan Persekutuan juga menggariskan ciri-ciri orang Melayu adalah mereka yang beragama Islam.

Menariknya, agama Islam di Malaysia turut sama dipegang teguh akidahnya oleh sebahagian kecil kaum lain seperti Cina, India, Kadazan dan Iban. Oleh sebab majoriti umat Islam di Malaysia adalah orang Melayu, maka apabila kaum minoriti lain memeluk agama Islam, maka mereka juga dilihat seperti berubah menjadi seorang Melayu. Dalam erti kata mudah, ‘Masuk Islam, jadi Melayu’.

Keserasian bangsa Melayu dan agama Islam di Malaysia sudah pun terjalin setelah sekian lama, jauh sebelum zaman penjajahan Tanah Melayu lagi. Kelebihan Islam sebagai sebuah agama sejahtera dan syumul merangkumi segala aspek kehidupan seperti berkeluarga, bermasyarakat hatta bernegara juga turut dijelaskan dalam Islam berpandukan al-Quran dan as-Sunnah.

Namun, setelah sekian lama umat Melayu dan agama Islam menikmati keakraban yang tidak berbelah bahagi ini, musuh-musuh Islam semakin rancak untuk meruntuhkan keserasian hubungan bangsa Melayu dengan agama Islam. Sasaran mereka adalah golongan pemuda Melayu, dan senjata mereka adalah serangan pemikiran.

Golongan mulhib

Akhir-akhir ini dapat kita saksikan bahawa pendokong-pendokong hak asasi manusia khususnya yang berteraskan nafsu dan logik akal semata semakin lantang mempromosi fahaman sesat liberalisme, sekularisme, pluralisme dan yang terbaharu mereka turut mempromosi fahaman ateisme yang menafikan kewujudan Tuhan. Dalam istilah arab, golongan ini dikenali sebagai mulhid.

Beberapa bulan lepas, negara Malaysia dikejutkan dengan polemik sekumpulan pemuda Melayu yang menyertai Kelab Atheist Republic Kuala Lumpur. Pelbagai respon yang diterima dan hujah yang dilontarkan bagi mempersoal tindakan sekumpulan pemuda Melayu tersebut menganuti fahaman ateisme yang tidak bertuhan.

Ada yang berhujah mengatakan golongan ateisme ini patut dibuang negara kerana telah melanggar prinsip Rukun Negara yang pertama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan. Sebahagian golongan islamis pula menyokong cadangan tersebut dengan alasan tidak mahu kesesatan fahaman mereka tersebarluas dalam kalangan umat Islam di Malaysia.

Menariknya, penulis berpeluang membaca hujah balas yang dikemukakan oleh salah seorang penganut ateis di media sosial yang mempersoal; “Mengapa perlu golongan ateis seperti kami dihalang? Sekiranya kami telah melanggar Rukun Negara yang pertama, bagaimana pula dengan penganut agama Buddha? Buddha bukan tuhan, tetapi seorang ahli falsafah yang mencari makna dalam kehidupan.”

Sambung pemuda itu lagi, “Bukankah lebih baik sekiranya golongan ateis Melayu diberi hak dan kebebasan seperti penganut fahaman lain supaya tidak timbul isu seperti wali nikah tidak cukup syarat, pernikahan tidak sah dalam Islam dan lain-lain?”

Tarik nafas dalam-dalam, dan hembus perlahan-lahan kerana sungguh, isu ini semakin panas untuk kita kupas. Lihat hujah Melayu ateis di atas, penuh dengan fakta dan logik akal sehingga mungkin kita akan terfikir, “Eh, betul juga kata mereka”.

Namun, sebelum kita membenarkan hujah-hujah dangkal Melayu ateis ini, kita sebagai seorang daie perlu berfikir akan kesan jangka masa panjang sekiranya golongan Melayu ateis diberikan kebebasan menganut bahkan mempromosi fahaman tidak bertuhan mereka kepada masyarakat dan negara.

Sekiranya fahaman ateisme diiktiraf di Malaysia, sudah pasti kes-kes seperti khalwat, zina, maksiat dan lain-lain yang bertentangan dengan Islam semakin berleluasa dengan alasan “Aku seorang ateis, dan aku tidak terikat dengan sebarang hukum-hakam Islam. Maka kau tidak ada hak untuk campur tangan dalam urusan kehidupan aku!”

Apa peranan kita?

Apabila prinsip amar makruf nahi mungkar dinafikan dalam masyarakat, maka tunggulah waktu dan ketikanya umat Islam dalam negara ini akan hancur dari sudut akhlak, moraliti dan kerohanian mereka. Sekiranya fenomena ini berlaku, maka lahirlah masyarakat yang hidup sekadar hidup mengejar kenikmatan dunia yang sementara dan berjiwa kosong seperti mana yang berlaku di Barat.

Sebagai seorang daie, kita tidak sunyi daripada memikirkan solusi dan jalan keluar bagi menyelamatkan saudara-saudara kita yang menyimpang dan jauh terkeliru ini. Telahpun kita sedar bahawa golongan Melayu ateis ini terjerumus ke dalam kancah ateisme dek kerana serangan pemikiran musuh-musuh Islam dan kerana terlalu mendambakan kebebasan dalam kehidupan di dunia.

Persoalan yang lebih penting untuk diutarakan adalah apa peranan kita dalam merawat, mengubah dan membimbing mereka kembali kepada Islam yang syumul?

Pertama, perkara yang paling asas perlu ditekankan adalah peranan ibu-bapa dalam memberikan didikan awal agama Islam kepada anak-anak di rumah. Awaludin makrifatullah; perkara awal dalam agama adalah mengenal Allah. Dengan didikan Islam yang betul semenjak dari dalam kandungan lagi, insyaAllah anak-anak tersebut akan membesar dengan akidah yang sejahtera dan menjadi seorang Muslim yang sejati.

Kedua, jabatan agama Islam dengan kerjasama NGO Islam di Malaysia perlu lebih giat dalam mendekati golongan-golongan Melayu ateis ini. Kenal pasti adakah mereka tergolong dalam kalangan ateis radikal yang kuat berhujah dengan logik akal, atau adakah mereka menjadi ateis kerana tiada bimbingan dari insan-insan yang terapat.

Sekiranya golongan Melayu ateis berlawan dengan hujah, maka kita dekati mereka dan berhujah berkenaan kewujudan Allah SWT sebagai Tuhan Yang Maha Satu. Sekiranya apa yang mereka perlukan adalah bimbingan, maka kita dekati mereka dengan kasih sayang dan pimpin mereka kembali ke pangkal jalan dengan cara hidup Islam yang syumul.

Ketiga, program-program pemulihan akidah yang santai dan mesra generasi-Y seperti ‘street dakwah’, sembang santai hatta melalui video-video tular yang membawa mesej-mesej halus berkenaan kewujudan Allah SWT mesti giat disebarluaskan di media sosial.

Kaji modus operandi musuh-musuh Islam dalam mempengaruhi anak-anak muda Melayu di Malaysia. Cara pendekatan yang bersesuaian dengan Islam kita manfaatkan untuk mendekati golongan Melayu ateis bagi membimbing mereka ke arah kebenaran.

Akhir sekali, penulis ingin memberikan saranan kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia agar mengkaji semula silibus dan pendekatan yang digunapakai dalam subjek Pendidikan Islam agar pelajar-pelajar Muslim sedar akan bahaya serangan pemikiran seperti liberalisme, sekularisme, pluralisme, ateisme dan fahaman-fahaman lain yang terpesong daripada akidah Islam yang sahih.

Selain itu, kefahaman akidah Islam yang sejahtera perlu juga diterapkan bukan sahaja dalam subjek Pendidikan Islam, maka diterapkan juga dalam subjek-subjek lain seperti sains, matematik, sejarah mahupun subjek bahasa kerana pada hakikatnya Islam itu syumul dan tidak terpisah-pisah.

Sebagai rumusan, suka untuk penulis mengajak dan menyeru kepada para pembaca supaya melihat isu Melayu ateis ini sebagai sebuah isu yang amat serius. Syukur alhamdulillah kerana akidah kita masih terpelihara dengan syahadah ‘tiada Tuhan melain Allah SWT, dan Nabi Muhammad SAW ialah pesuruh Allah SWT’.

Namun, sekiranya fahaman ateisme ini tidak kita bendung dari awal, apa jaminan yang kita ada untuk memastikan akidah islamiah anak cucu kita terus terpelihara? – MAJALAH DAKWAH 

Amirul Eqhwan Rahim adalah penulis buku Mahasiswa Bukan Robot dan #Henshin Mahasiswa

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *