Home » Citra Yadim » Meletakkan tugas dakwah di arus perdana

Meletakkan tugas dakwah di arus perdana

Gerakan dakwah di Malaysia sentiasa berhadapan dengan gelombang turun naik. Pada tahun 1970-an, gerakan dakwah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan apabila wujudnya organisasi seperti Yadim, ABIM dan Al-Arqam yang membawa arus perubahan dalam skala kehidupan Islamik masyarakat muslim pada masa itu.

Walau bagaimanapun, pada masa kini gerakan dakwah ini dilihat mengalami zaman kemerosotan. Ini kerana permasalahan dakwah Islamiah masih berlegar tentang kekangan sumber kewangan berbanding dengan missionari yang jauh terkehadapan melaksanakan missionari mereka ke seluruh dunia.

Demikian ucap Datuk Haji Mohd Nakhaie Haji Ahmad semalam dalam satu majlis pertemuan bersama mantan Yang Dipertua Yadim di Bilik Mesyuarat Yadim. Beliau yang merupakan mantan Yang Dipertua Yadim yang berkhidmat dari tahun 2000 hingga 2009 melahirkan harapan supaya Yadim dapat melonjakkan perjuangan umat Islam dengan berada di barisan hadapan. “Kita harus menguasai masyarakat dengan pemikiran yang betul, akidah yang murni dan akhlak yang baik. Dengan prinsip tersebut, kita mampu meletakkan dakwah di arus perdana.”

Bagi Dato’ Haji Dusuki Haji Ahmad yang berkhidmat dari tahun 1994-1997, melahirkan rasa syukur kerana dapat bersama-sama dengan tenaga muda yang ada di Yadim pada masa kini. Beliau sempat berkongsi sejarah penubuhan Yadim dan pengalaman beliau sebagai Yang Dipertua. Harapan beliau agar tenaga muda dan berkelulusan ini mampu menggembleng tenaga mengerakkan dakwah ke arus perdana.

Seorang lagi mantan Yang Dipertua yang turut hadir adalah Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor. Beliau yang memegang jawatan Yang Dipertua dari tahun 1989 hingga 1990 dan tahun 1993, menyatakan bahawa dakwah adalah aktiviti bersifat malar segar. Dari dahulu hingga sekarang, kerja-kerja dakwah masih terus berlangsung dan sudah pastinya ia perlu disesuaikan dengan keadaan semasa bagi mempastikan kelangsungannya terus berada dalam ruang lingkup masyarakat Islam.

Majlis ini diilhamkan oleh Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Yang Dipertua Yadim bertujuan mengeratkan silaturahim antara mantan-mantan Yang Dipertua dengan Yadim. Beliau juga mengharapkan pertukaran idea dan cadangan akan sentiasa berlangsung antara Yadim dan mantan-mantan ini.

Antara tetamu yang menghadiri majlis ini Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim, Bendahari Kehormat PERKIM, En. Mamat Che Chik, Pegawai Tugas-tugas Khas (Pentadbiran) PERKIM, En. Ali Dahalan, Penolong Pengarah Bahagian Tajdid PERKIM dan En. Ahmad Mustapha, Pegawai Khas PERKIM. Sementara itu, Datuk Aziz Jamaludin Mhd Tahir tidak dapat hadir kerana berada di luar negara.

Artikel Berkaitan

Kunjungan hormat PPD Klang kepada YADIM Selangor

YADIM Selangor telah menerima lawatan kunjungan hormat daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang pada 30 Januari. Pertemuan ini bertujuan untuk membincangkan kerjasama

Wacana Integriti YADIM bersama pihak SPRM

KOMITED Untuk telus dalam setiap urusan melestari gerakan dakwahnya, YADIM merangka beberapa program dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pada 30

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *