Home » Citra Yadim » Memasyarakatkan YADIM

Memasyarakatkan YADIM

Zolkharnain (baju oren) ketika dalam sesi taklimat lawatan Asatizah Care.

PUTRAJAYA – Sebagai salah satu usaha lebih mendekatkan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) serta agensi agama dengan orang ramai, satu gerakan untuk memasyarakatkan badan dakwah ini akan dilaksanakan.

Timbalan Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Zolkharnain Abidin berkata, ia adalah antara usaha yang dilaksanakan kerajaan bagi menyantuni rakyat mengikut Gagasan Rahmatan Lil Alamin.

“Idea ini sudah sampai ke pengetahuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato’ Seri Dr Mujahid Yusuf, dan beliau sudah menggariskan beberapa program untuk tujuan ini.

“Idea dan program ini akan dibentangkan dalam retreat agensi agama yang akan diadakan tidak lama lagi,” katanya dalam sesi taklimat dalam lawatan Pertubuhan Asatizah Care ke YADIM di sini hari ini (14 Februari 2019).

Lawatan yang bertujuan bertukar pandangan dan membincangkan peluang kerjasama itu diketuai oleh Ustaz Azrulkhakim Suradi, Setiausaha Asatizah Care, dengan disertai 14 lagi peserta.

Mengulas lanjut Zolkharnain berkata, memasyarakatkan YADIM adalah antara agenda besar yang kini dirancang kerajaan supaya perkhidmatan agensi agama lebih berkesan dan dekat kepada rakyat.

“Kita boleh sebut ianya adalah Memasyarakatkan YADIM, Membumikan Rahmatan Lil Alamin dan Mengislahkan Pemikiran.

“Jadi nanti di bawahnya ada lagi program seperti penerbitan buku, dialog dan sebagainya, “ ujar beliau.

Sementara itu, antara cadangan yang diutarakan kepada YADIM dalam lawatan Asatizah Care ialah supaya badan ini mencontohi kaedah pengumpulan dana  menerusi zakat dan waqaf yang dilaksanakan oleh Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat Dan Endowmen (Wazan), di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurut Pengerusi Sekolah Tahfiz Anak Yatim Al Kitab, Yang Berusaha Ustaz Asmadi Adnan, Wazan telah berjaya mengumpulkan dana untuk beberapa program waqaf dengan segera.

“Difahamkan antara yang telah berjaya dilaksanakan ialah waqaf untuk kenderaan pacuan 4 x 4, yang digunakan sebagai ambulan, ia kerana permukaan ladang di UPM yang tidak rata, lalu menyukarkan kenderaan lain masuk.

“Sekiranya tidak menyalahi peraturan dan Akta YADIM, mungkin ia boleh dipertimbangkan,” jelas beliau.

Turut dicadangkan kepada YADIM semasa sesi lawatan ialah kerjasama dalam pendakwahan Orang Asli, serta kerjasama penggunaan media.

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *