Home » Analitis » Membangun budaya kerja Quranik

Membangun budaya kerja Quranik

BEKERJA dalam Islam bukan sekadar untuk mendapat gaji pada akhir bulan atau memenuhi tuntutan hidup yang kian mencabar. Sebaliknya bekerja mencari nafkah yang halal merupakan sebahagian daripada ibadah yang besar maknanya di sisi ALLAH.

Sebab itulah dalam konteks Islam, kualiti kerja tidak diukur cuma dari sudut pertimbangan neraca manusiawi atau ‘utilitarian’ semata-mata. Lebih jauh dari itu kecemerlangan tertakluk kepada syarat dan keredaan ALLAH.

Bagi orang Islam, kualiti kejayaan dan kecemerlangan sebenar ialah apabila pekerjaannya diredai dan diberkati ALLAH. Untuk itu amal dan kerjanya haruslah memenuhi kod etika keagamaan selain memenuhi etika kerja yang digariskan oleh majikan.

Apa yang pasti, kualiti amat berkait rapat dengan aspek kecemerlangan yang tidak hanya ditentukan oleh teknik pengurusan. Sebaliknya kualiti dan produktiviti amat bergantung pada faktor kemanusiaan iaitu sikap manusia terhadap pekerjaannya. Seterusnya pembentukan sikap manusia terkait dengan tabii manusiawi yang punya akal dan perasaan.

Akal dan perasaan manusiawi ini pastinya memerlukan motivasi dan dorongan secukupnya untuk manusia melaksanakan pekerjaannya dengan rela tanpa perlu dikerah atau dipaksa-paksa. Sistem bekerja seperti ‘pahat dan penukul’ tidak lagi relevan malah tidak akan mampu memberi natijah yang maksimum.

Sebaliknya, kualiti dan kecemerlangan hanya akan tercapai jika seseorang itu menunaikan tanggungjawabnya dalam pekerjaan dengan rela, dedikasi dan penuh bermotivasi. Orang Islam sejati terdorong untuk bekerja kuat, bukan kerana tekanan daripada majikannya tetapi lebih utama kerana digerak oleh motivasi dari dalam dirinya sendiri yang berupa rasa tanggungjawab untuk melaksanakan tugas sebagai hamba dan khalifah ALLAH.

Dalam al-Quran disebutkan dengan jelas: (ALLAH) yang telah menjadikan kematian dan kehidupan bagi menentukan siapa di antara kamu yang terbaik amalannya (Al-Mulk:2). Memang hidup ini harus diisi dengan amal soleh (kerja yang baik) sebagai pembuktian dan manifestasi keimanan utuh kepada ALLAH.

Kerana itu jugalah manusia yang berfikiran waras akan sentiasa didorong untuk sentiasa berlumba-lumba bagi memaksimumkan keupayaan demi memburu kebajikan dan kecemerlangan (fastabiqul khairat) agar hidup dan matinya berkualiti. Kerja yang dilaksanakan dengan semangat itu pastilah dapat menatijahkan produktiviti yang maksimum.

Islam melihat pekerjaan sebagai suatu yang cukup bernilai. Malah Islam menganggap kasbu al-halal atau bekerja untuk memperoleh pendapatan yang halal adalah suatu jihad (maksud Hadis). Diriwayatkan, Saidina Umar Al-Khattab berkata, “Keadaan yang paling aku sukai bila ajal menjemputku ialah apabila aku sedang berjihad di jalan ALLAH. Kemudian keadaan di mana aku sedang mencari rezeki kurniaan ALLAH. Kemudian beliau lantas membaca ayat daripada firman ALLAH:

“Dan sebahagian manusia berjalan di muka bumi mencari sebahagian daripada (rezeki) anugerah ALLAH. Sebahagian yang lain pula berperang di jalan ALLAH” (Al-Muzammil:20)

Banyak lagi ayat-ayat al-Quran lain yang menyokong prinsip bekerja dan mencari rezeki yang halal. Bahkan Nabi Muhammad SAW sentiasa memperingatkan sahabat-sahabatnya dan umat Islam secara keseluruhannya agar bekerja bersungguh-sungguh bagi mencari rezeki yang halal. Ini kerana setiap pekerjaan yang baik merupakan suatu ibadah yang bakal mendapat ganjaran dan maghfirah ALLAH.

Dalam satu hadis Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang bermalam dalam keadaan penat kerana mencari rezeki yang halal maka dia bermalam dalam keampunan (Tuhan)”. (Riwayat Ibnu Asakir daripada Anas).

Budaya kerja yang disemangati oleh nilai-nilai Islam juga diharapkan dapat menghindari perilaku songsang dan gejala tidak bermoral dalam pekerjaan. Memang kebelakangan ini kita menyaksikan semakin meluasnya gaya hidup materialistik dan individualistik, rakus dan boros dalam masyarakat kita.

Justeru dalam upaya untuk mencipta budaya kerja yang lebih berkualiti dan cemerlang, kita perlu memanfaatkan nilai-nilai positif dan dinamik yang mengakar pada budaya dan agama Islam sejati. Hanya dengan menterjemahkan pandangan hidup Islam yang syumul sahaja mampu mengangkat martabat dan meningkatkan produktiviti para pekerja demi kecemerlangan negara masa depan.

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *