Home » Uncategorized » Memugar model muamalah Rasul

Memugar model muamalah Rasul

MALAM tadi penutup Karnival Muamalah Islam yang dianjurkan secara bersama Kerajaan Negeri Melaka, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan TV Alhijrah bersempena sambutan Maulidur Rasul.

Seperti kata Ketua Menteri Datuk Seri Ir. Idris Haron dalam ucapan perasmiannya, inilah acara buat julung kali diadakan dengan kerjasama rapat Yadim bagi menyemarakkan kesedaran bermuamalah secara sah dari segi syarak dan berpandukan ajaran Islam sebenar.

Karnival Muamalah yang berlangsung dari 10 hingga 14 Januari ini bukan sahaja menyediakan hampir 100 gerai jualan, bahkan menyajikan pengunjung dengan pelbagai program pengisian ilmu yang diadunkan dengan acara santai seperti hiburan dan pertandingan.

Semuanya ke arah menyemarakkan kefahaman ummah mengenai dimensi muamalah dalam Islam.

Hakikatnya, masyarakat Islam Malaysia umumnya masih lagi melihat Islam secara terpisah-pisah. Malah ramai yang menanggapi Islam hanya dalam ruang lingkup ritual peribadatan yang berlegar isu ibadah khusus seperti sembahyang, puasa, haji, zikir, dan selawat.

Tanpa disedari apabila membincangkan hal-hal yang menyentuh aspek perniagaan, kewangan, urus tadbir organisasi mahupun isu-isu kehidupan harian sesama manusia, ramai yang canggung dan rasa kurang pahala lantaran membicarakan urusan dunia yang melalaikan.

Pernah satu ketika apabila penulis mencadangkan kepada sebuah masjid di Selatan Tanah air agar diadakan juga kelas pengajian bidang muamalah yang bersangkutan urusan perniagaan dan kewangan, pihak pentadbir secara spontan menolaknya dan berasakan ia tidak sesuai dibicarakan dalam tempat ibadah.

Walhal Nabi SAW sendiri menjadikan masjid tempat mengajar ilmu muamalah seperti  jual beli dan urusan perniagaan sebelum dipraktikkan oleh para sahabat di luar masjid seperti pasar-pasar yang dibina Nabi setelah berhijrah ke Madinah.

Nabi SAW sendiri memantau kegiatan perniagaan dan mendidik para peniaga mengenai falsafah, prinsip bahkan mekanisme perniagaan yang bebas daripada unsur-unsur yang diharamkan syariah seperti riba, penipuan, penindasan dan kezaliman.

Kaedah fekah yang mendasari pengeluaran hukum-hukam berkaitan muamalah sebagaimana yang dipersetujui oleh kebanyakan ulama adalah: “Hukum asal setiap perkara adalah harus sehingga ada dalil yang menunjukkan haram. (Rujuk Imam Al-Suyuti, Al-Ashbah Wa al-Naza’ir: 56)

Berasaskan prinsip ini jugalah sistem muamalah Islam sentiasa berkembang mengikut peredaran zaman. Sebab itulah dalam pembinaan tamadun yang termasuk dalam kategori muamalah, Islam tidak pernah menghalang proses perubahan apatah lagi mempelajari daripada tamadun lain untuk membangunkan tamadun sendiri.

Umpamanya, zaman keemasan tamadun Islam selama 150 tahun dari tahun 767 Masihi hingga 912 Masihi menyaksikan pelbagai jenis karya ilmiah Greek dalam bidang falsafah dan sains diterjemahkan ke dalam bahasa Arab. Nama-nama seperti Yahya Ibn Masawayh, al-Hajjaj bin Mattar, Yahya bin al-Bitriq, Hunayn b. Ishaq dan Ibn al-Muqaffa merupakan sebahagian cendekiawan terkemuka yang gigih
menterjemah pelbagai karya ilmiah tamadun asing.

Sikap akomodatif sarjana dan ilmuwan Islam lampau dalam menerima kemasukan khazanah ilmu asing ini sebenarnya bukanlah suatu yang baru atau sengaja diada-adakan. Malah ia merupakan penerusan prinsip dan budaya yang diamalkan Rasulullah SAW sendiri dalam upaya Baginda melakukan reformasi dan transformasi ke atas masyarakat Arab Jahiliah hingga terbentuknya tamadun Islam yang unggul berpusat di Madinah.

Pemahaman mengenai aspek muamalah Islam inilah yang perlu dicanai dan disemarakkan ke dalam diri umat hari ini agar pelbagai inovasi positif dapat dihasilkan demi mencipta sebuah tamadun bangsa yang unggul.

Sesungguhnya Islam bersifat syumul mencangkupi bukan sahaja urusan peribadatan ritual namun menitik-beratkan aspek muamalah keduniaan bagi mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

Besarlah harapan Yadim untuk Karnival Muamalah ini dapat dianjurkan di setiap negeri agar kefahaman umat kepada aspek muamalah dapat dipertingkatkan. Moga suatu hari nanti kita dapat lahirkan generasi seimbang yang dinamik, benar-benar celik dan menjiwai prinsip muamalah Islam yang sejati.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *