Home » Lagenda » Meneladani dakwah Pak Natsir

Meneladani dakwah Pak Natsir

Oleh ABDUL SALAM MUHAMAD SHUKRI

Prof. Madya Dr. Abdul Salam Muhamad Shukri ialah pensyarah di Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM)

MAJALAH Tempo dalam edisi khas tahun 2000 meletakkan Mohammad Natsir (1908-1993)sebagai seorang ahli politik Indonesia, ulama, dan dianggap sebagai pemikir abad ke-20 Indonesia yang berpengaruh. Beliau juga pernah menjadi Perdana Menteri Indonesia ke-5 (1950-1951) dan pengasas parti politik Masyumi Islam (https://en.wikipedia.org/wiki/Mohammad_Natsir).

Pak Natsir diingati kerana sumbangannya kepada dua bidang yang saling berkaitan, iaitu politik dan dakwah. Dalam politik, beliau menyokong kemerdekaan Indonesia dari Belanda dan pembentukan sebuah negara kesatuan Indonesia. Beliau juga mengetuai parti politik Islam yang terbesar dan pernah dilantik sebagai Perdana Menteri pertama dari sebuah parti politik Islam yang dipilih secara demokrasi selepas Perang Dunia Kedua. Beliau terus menyumbang fikiran dan bimbingannya selepas bersara dari politik kepada organisasi dan pertubuhan politik Islam.

Dalam bidang dakwah, beliau aktif mendidik masyarakat atas keprihatinan tentang pendidikan Islam bagi umat Islam. Beliau mengasas dan mengetuai Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia (DDII – Majlis Dakwah Islam Indonesia), sebuah pusat aktiviti Islam berpengaruh di Indonesia (Tunku Mohar, 2009: 267).

Pak Natsir dilahirkan pada 17 Julai 1908 di Alahan Panjang, Sumatera Barat. Bapanya bekerja di Syarikat Hindia Belanda manakala datuknya adalah seorang ulama di kampung Alahan Panjang. Beliau berasal dari keturunan Maninjau yang merupakan sebahagian etnik Minangkabau di Sumatera Barat.

Pak Natsir mendapat pendidikan yang baik di usia yang muda. Beliau terdidik melalui dua sistem pendidikan yang berbeza, iaitu sistem Belanda di Hollandsch Inlandsche School (HIS, Sekolah Pribumi Belanda) di Solok dan sistem Islam di salah buah sekolah Islam (pesantren) yang diketuai oleh Haji Rasul atau dikenali juga sebagai Haji Abdul Karim Amrullah (1879-1945). Haji Rasul merupakan pengasas kepada pertubuhan Islam yang dikenali sebagai Muhammadiyah di Sumatera Barat dan Pesantren Sumatera Thawalib di Padang Panjang. Pesantren ini berjaya melahirkan pelajar progresif antaranya Pak Natsir dan anak kepada Haji Rasul sendiri, iaitu HAMKA (Haji Abdul Malik Karim Amrullah, 1908-1981).

Pada tahun 1923, Pak Natsir menyertai pertubuhan Pemuda Islam, Jong Islamieten Bond (JIB) di Padang. Seterusnya dalam tahun 1928 beliau meninggalkan Sumatera untuk berpindah ke Bandung, ibu kota wilayah Jawa Barat Indonesia untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sekolah tinggi. Beliau menerima biasiswa daripada Meer Uitgebreid Lager Sekolah (MULO – More Advanced Elementary School) dari Padang. Beliau menamatkan pendidikan formalnya di Algemene Middelbare School (AMS – Sekolah Menengah Am), Bandung.

Sewaktu di Bandung, Pak Natsir banyak terdedah dengan idea-idea reformis para ulama Indonesia seperti Ahmad Surkati (1872-1943), Ahmad Hassan (1887-1958) dan Haji Agus Salim (1884-1954) yang dikenali sebagai “Bapa Intelektual Muslim Indonesia”. Ahmad Hassan atau lebih dikenali sebagai A. Hassan Bandung banyak mengajar Pak Natsir tentang pola hidup Islam progresif. Beliau bergiat dalam Persatuan Islam (Persis) yang diasaskan Haji Zamzam dan KH M Yunus.

Menerusi pengajian-pengajian Persis yang disampaikan Ahmad Hassan, Pak Natsir berusaha memperdalam ilmu agamanya. Pak Natsir yang menyertai Persis sebagai anggota muda Persis tahun 1931 menjalin hubungan erat dengan Ahmad Hassan hingga berjaya menerbitkan majalah “Pembela Islam” dan “Al-Lisan.” Bahkan, dengan inisiatif Natsir, Persis kemudian mendirikan berbagai lembaga pendidikan, antara lain Pendidikan Islam (Pendis) dan dilantik sebagai pengarahnya dari tahun 1932 sehingga 1942 serta Pesantren Persatuan Islam pada 4 Mac 1936 (https://persisalamin.com/info-jamiyyah/mengenal-tokoh-tokoh-persis/).

Pak Natsir pada tahun akhir sekolah tinggi sekitar 1929 banyak menerbitkan tulisannya. Esei pertamanya diterbitkan dalam sebuah akhbar harian Belanda, AID (Algemeen Indische Dagblad). Beliau mengkritik dan menolak khutbah yang disampaikan oleh seorang paderi Kristian Belanda bernama Hans Christoffel. Beliau menerbitkan dua artikel dalam bahasa Belanda, iaitu “Al-Quran en Evangelie” (Al-Quran dan Evangelis) dan “Muhammad als Profeet” (Muhammad sebagai Nabi). Di samping itu antara tahun 1936 sehinga 1941 Pak Natsir kerap menulis dalam Pandji Islam, Pedoman Masyarakat, dan Al-Manar di bawah nama samaran, A. Muchlis.

Di samping bergiat dalam bidang agama dan penulisan, Pak Natsir juga bergiat aktif dalam bidang politik. Sememangnya politik dan agama tidak dapat dipisahkan. Beliau dipilih sebagai ketua cawangan Bandung untuk Partai Islam Indonesia (PII) dalam tahun 1940. Selepas itu terpilih pula sebagai ahli Dewan Rakyat (Volksraad) Kabupaten Bandung antara tahun 1940-1942. Pak Natsir menyertai parti politik Islam terbesar di Indonesia, Majlis Sjura Muslimin (Masjumi, 1943-1960) pada tahun 1945. Apabila mendapat kemenangan dalam pilihanraya pada tahun 1946, beliau dilantik sebagai Menteri Kerajaan Indonesia dari tahun 1946 sehingga 1949. Beliau dilantik sebagai menteri kerajaan Indonesia di bawah pentadbiran kabinet Sjahrir I (1945-1946) dan terus memegang jawatan tersebut sehingga kabinet Muhammad Hatta (1948-1949). Karier Pak Natsir dalam bidang politik meningkat apabila dilantik sebagai Presiden Masjumi pada tahun 1949.

Kegiatan Pak Natsir dalam politik begitu baik lebih-lebih lagi dengan idea untuk memperkenalkan rang undang-undang Republik Persekutuan Indonesia (atau lebih dikenali sebagai Mosi Integral Natsir) untuk mewujudkan sebuah negara kesatuan di Indonesia. Tepat pada 17 Ogos 1950 rang undang-undang itu diluluskan yang melahirkan sebuah negara kesatuan Indonesia. Pada 5 September tahun yang sama, beliau dipilih sebagai Perdana Menteri Indonesia ke-5 mewakili Parti Masjumi.

Bagaimanapun, jawatan Perdana Menteri tidak lama dipegang Pak Natsir apabila kabinet Natsir dibubarkan pada 26 April 1951. Beliau mengembalikan mandat sebagai Perdana Menteri kepada Presiden Sukarno yang merupakan Presiden Indonesia yang pertama. Ramai berpendapat sekitar tahun 1950 sehingga 1957, berlaku hakisan demokrasi di Indonesia apabila pihak Presiden mengambil peluang ini untuk mengawal mekanisme pentadbiran dan kemudian bertindak secara autokratik. Presiden Sukarno memperkenalkan dasar politik beliau dengan nama “Nas-A-Kom” (Nasionalis, Agama, Komunis).

Selepas melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri Indonesia, Pak Natsir meluaskan kegiatannya ke peringkat antarabangsa. Pada tahun 1956 beliau mengetuai persidangan Mu’tamar al-‘Alam al-Islami di Damsyik bersama-sama dengan pemikir-pemikir Islam yang lain termasuk Abul A’la al-Maududi (1903-1979) dan Abul Hasan Ali Hasani Nadwi (1914-1999).

Berbalik kepada politik Indonesia, pada tahun 1957 Presiden Sukarno memperkenalkan dasar politik yang dinamakan sebagai “Demokrasi terpimpin” (Guided Democracy). Ia diteruskan sehingga tahun 1965. Pada masa ini kebanyakan parti politik lain ditindas secara sistematik. Akibat dasar yang berat sebelah itu Pak Natsir akhirnya bangun menentang pemerintahan Indonesia dan menyertai ahli politik pembangkang yang lain. Beliau mengisytiharkan penubuhan “Pemerintah Revolusioner Republik Indonesia” (PPRI).

Dalam tahun 1960, Pak Natsir bersama dengan pemimpin pembangkang yang lain mengambil keputusan untuk melancarkan gerakan gerila di dalam hutan Sumatera untuk menentang kerajaan pusat, yang mereka anggap sebagai diktator dan pro-komunis. Ia berterusan sehingga 1963 apabila golongan pemberontak dapat dikalahkan dan Pak Natsir ditangkap. Beliau diserahkan kepada kerajaan pusat dan dihukum penjara oleh rejim Presiden Sukarno selama tiga tahun di penjara Malang. Beliau bagaimanapun hanya dibebaskan pada 1966 apabila Major Jeneral Suharto mengambil alih kuasa dari Presiden Sukarno.

Selepas dibebaskan, Pak Natsir bergiat dalam bidang dakwah dengan mencebur diri dalam pertubuhan Islam setempat dan antarabangsa termasuk Majlis Ta’sisi Rabitah Alam Islami dan Majlis A’la al-‘Alami li l-Masjid berpusat di Mekah pada tahun 1972, ahli pengasas Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS, Oxford Centre for Islamic Studies) di Oxford, England pada tahun 1987, dan Kongres Dunia Islam (Mu’tamar al-‘Alam al-Islami atau World Muslim Congress) di Karachi, Pakistan. Beliau pernah menjawat jawatan Naib Presiden dalam Kongres Islam Antarabangsa. Pada tahun 1967, beliau menubuhkan Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia (DDII, Majlis Indonesia Perkembangan Islam) dan terus mengetuainya sehingga 1993.

Pak Natsir aktif menulis dan memberi ceramah mengenai isu-isu agama dan kontemporari. Beliau menulis secara meluas mengenai Islam dan berjaya menulis sebanyak 45 buku dan beratus-ratus artikel. Antara karya beliau ialah Islam dan Akal Merdeka (1949), Capita Selecta (vol. 1, 1954 and vol. 2, 1959), M. Natsir vs. Soekarno (1968), Fiqhud-Da’wah (1969), Islam dan Kristen di Indonesia (1969), Kubu Pertahanan Mental dari Abad ke Abad (1970), Tugas and Peranan ‘Ulama’ (1972), Kumpulan Khutbah Hari raya (1980), Kebudayaan Islam dari Perspektif Sejarah (1988) dan Agama dan Negara dalam Perspektif Islam (2001).

Pada era 1970-an Pak Natsir terpaksa berdepan dengan arus baharu di kalangan belia Islam, iaitu pergerakan yang dikenali sebagai gerakan “Pembaharuan”. Gerakan ini merujuk kepada pemodenan dalam Islam yang diketuai oleh Nurcholis Madjid atau Cak Nur (1939-2005). Menurut Cak Nur, Islam perlu berkembang di atas konsep toleransi, demokrasi dan pluralisme. Cak Nur juga terkenal dengan slogan: ‘Islam, yes; Islamic parties, no’. Gerakan Cak Nur terus berkembang sehingga beliau berjaya menubuhkan Yayasan Paramadina dan Universiti Paramadina di Indonesia. Selain itu aliran pembaharuan ini tersebar luas di Indonesia sehingga sekarang dengan terbentuknya Jaringan Islam Liberal (JIL).

Atas sumbangan beliau kepada Islam dan dunia Islam Pak Natsir menerima Anugerah Raja Faisal dari Yayasan Raja Faisal pada tahun 1980. Sebelum itu beliau pernah menerima ijazah doktor kehormat dari Lubnan pada tahun 1967. Malaysia juga mengiktiraf sumbangan Pak Natsir apabila dua universiti di Malaysia menganugerahkan ijazah doktor kehormat, iaitu anugerah dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia pada 1991.

Pada tahun 1982, Pak Natsir terlibat dalam polemik dengan Jabatan Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia apabila jabatan itu memperkenalkan kursus baharu, iaitu Pendidikan Moral Pancasila (PMP) di sekolah-sekolah rendah dan menengah. Pada pandangan beliau, dasar Pancasila perlu berteraskan Islam dan bukannya rekaan sesuatu yang baharu.

Pada tahun 1984, Pak Natsir menjadi Ketua kepada Badan Penasihat Yayasan Pembina Pesantren Indonesia. Seterusnya pada tahun 1989 beliau bersama dengan KH. Masykur (1902-1992) menubuhkan Forum Ukhuwah Islamiyah (FUI). Dalam era 1990-an, Pak Natsir mula melihat perubahan positif Presiden Suharto kepada Islam dan umatnya di Indonesia apabila Presiden menjadi lebih dekat dengan puak Islam dalam Parti Golkar.

Dalam masa tuanya, Pak Natsir tinggal di kediaman sederhana di kawasan elit di daerah Menteng Jakarta Pusat. Beliau meninggal dunia pada 6 Februari 1993 pada usia 84 tahun. Sumbangannya diiktiraf sehingga dinobatkan sebagai seorang wira negara atau “Pahlawan Nasional” pada 10 November 2008. – MAJALAH DAKWAH

 

 

 

 

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *