Home » Naratif Al-Ghazali » Mengatasi Marah Menurut Al-Ghazali

Mengatasi Marah Menurut Al-Ghazali

AL-GHAZALI menggunakan perkataan al-ghadab bagi merujuk kepada perasaan marah. Menurut al-Ghazali, punca marah adalah disebabkan oleh rasa megah (al-zahw), kagum terhadap diri sendiri (`ujub), suka bergurau, mengejek, suka bermusuhan, menyalahi janji (al-ghadar) serta sangat tinggi keinginan kepada banyaknya harta dan kekuasaan (al-jah).

Al-Ghazali menjelaskan, tanda-tanda orang yang marah dapat dikenal pasti menerusi anggota zahiriahnya seperti wajah berubah menjadi merah, sendi-sendi badannya menjadi gementar serta perkataan dan perlakuannya menjadi tidak tentu arah. Tanda pada lidahnya dapat difahami dengan melahirkan kata-kata kesat seperti memaki hamun dan mengeji, manakala tanda pada anggota badannya ialah berlakunya pukulan, serangan dan pembunuhan.

Menyedari perlunya penyakit marah ini diatasi, al-Ghazali mengemukakan dua pendekatan umum bagi mengatasi penyakit marah di dalam hati seseorang iaitu dengan menggunakan ilmu dan amal. Beliau mengemukakan beberapa langkah bersandarkan kepada ajaran Islam bagi menghilangkan sifat marah dalam diri seseorang melalui pendekatan ilmu. Antara pendekatan tersebut ialah berfikir secara serius tentang ajaran Islam yang menghuraikan keutamaan menahan marah, keutamaan memberi kemaafan serta keutamaan bersifat sabar sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran  yang bermaksud:

`Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya)’. (Al-A’raaf:199)

Keutamaan memberi kemaafan bukan sahaja merupakan satu ajaran Islam, tetapi turut diperakui kepentingannya oleh beberapa pengkaji Barat malah, dalam kajian mereka didapati bahawa memberi kemaafan boleh memberikan faedah kepada kesejahteraan fizikal dan mental seseorang.

Selain itu, seseorang yang marah hendaklah mengingati bahawa azab Allah SWT akan menyusul jika kemarahan diteruskan, serta menginsafi bahawa kekuasaan Allah mengatasi kekuatan manusia. Pada masa yang sama, dia juga perlu memikirkan akibat buruk daripada permusuhan yang mungkin akan tercetus dengan orang yang dimarahi. Seorang yang marah hendaklah menngingatkan diri, jika dia meneruskan kemarahannya bermakna dia telah ditewaskan oleh pujukan  syaitan yang sukakan pergaduhan dan persengketaan berlaku sesama manusia.

Manakala, rawatan penyakit marah menerusi pendekatan amal boleh dilakukan dengan cara bermujahadah melawan kemarahan seperti membaca isti’zah memohon perlindungan daripada gangguan syaitan.

Al-Ghazali turut mencadangkan agar seorang sedang marah supaya duduk seperti yang  dijelaskan oleh Rasulullah dalam satu hadis yang bermaksud, “Daripada Abu Zar, sesungguhnya Rasulullah bersabda,“Jika seseorang daripada kamu marah dan ketika marah itu sedang berdiri maka duduklah.’’

Selain itu, al-Ghazali juga mencadangkan orang yang sedang marah supaya mengambil wuduk kerana air wuduk dapat menenangkan jiwa selari dengan ajaran Rasulullah dalam sebuah hadis yang bermaksud, `Daripada Atiyyah, Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya kemarahan itu daripada syaitan dan syaitan itu pula dicipta Allah SWT daripada api dan api itu dapat dipadamkan dengan air. Oleh itu, apabila di kalangan kamu marah, hendaklah berwuduk.’’

Al-Ghazali juga mencadangkan orang yang sedang marah agar berdiam diri. Saranan ini adalah berdasarkan ajaran Rasulullah dalam hadisnya yang bermaksud, `Daripada Ibn Abbas, Rasulullah bersabda, “Ajarkanlah olehmu, pemudahkan dan jangan menyusahkan dan jika kamu marah, maka hendaklah kamu diam (diulang sebanyak tiga kali).’’

SUMBER : Artikel bertajuk `Kaedah Mengatasi Emosi Marah Dalam Kaunseling: Analisis Daripada Perspektif Al-Ghazali oleh Prof Madya Salasiah Hanin Hamjah dan disiarkan dalam Jurnal Umran Vol 1, No. 2, 2015.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *