Home » Analitis » Menjelang hari graduasi Ramadan

Menjelang hari graduasi Ramadan

leavingmissingramadhan

Esok kita bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri dan meninggalkan Ramadan yang penuh keberkatan. Bulan yang menjanjikan pelbagai peluang dan ruang untuk menggandakan ganjaran ibadah dan mendapat pengampunan ALLAH kini bakal melabuhkan sauh.

Apa yang pasti tiada jaminan kita akan peroleh kesempatan Ramadan yang sama pada tahun-tahun mendatang. Memahami realiti kehidupan yang tidak kekal abadi inilah, maka umat yang waras akan sentiasa menangisi pemergian Ramadan di samping menzahirkan kegembiraan bagi mensyukuri nikmat ALLAH tatkala Aidilfitri menjelma.

Teringat penulis ketika masih menuntut di peringkat Sarjana dan PhD di Loughborough United Kingdom. Amalan rumah terbuka turut diamalkan di kalangan pelajar perantauan bahkan kadangkala lebih hebat daripada ketika di tanah air sendiri.

Aktiviti ziarah kadangkala berakhir sehingga ke larut malam tanpa mengira penat. Malah di kalangan penuntut bukan Islam juga turut sama-sama berkunjung bagi menikmati juadah tradisi Melayu yang hanya terhidang pada musim raya.

Demikianlah hebatnya sambutan Aidilfitri- merupakan saat sememangnya disunatkan untuk umat bergembira dengan penuh rasa kesyukuran setelah berjaya menempuh fasa latihan kerohanian dan penyucian jiwa (tazkiah an-Nafs) di sepanjang Ramadan.

Rasulullah SAW sendiri menggalakkan umatnya agar bergembira di bulan Syawal ini. Pernah diberitakan bagaimana Nabi Muhammad SAW menegur sahabatnya Abu Bakar As-Siddiq tatkala beliau memarahi Aisyah ra dan penghibur kalangan kaum Ansar yang sedang bernyanyi sambil memalu gendang dan bermain seruling.

Abu Bakar mengherdik mereka seraya berkata: ”Apakah patut seruling syaitan dialunkan di rumah Rasulullah” Lalu Rasulullah SAW membuka selimutnya dan berkata: ”Biarkan mereka wahai Abu Bakar! Hari ini adalah hari raya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat lain Rasulullah dikatakan berkata: “Wahai Abu Bakar! Setiap kaum ada hari raya mereka dan hari ini adalah hari raya kita. Demikianlah bukti jelas bagaimana Aidilfitri ini hari perayaan Islam yang sememangnya menggalakkan umat agar menzahirkan kegembiraan dan rasa syukur di atas nikmat ALLAH SWT.

Walau bagaimanapun di tengah-tengah kemeriahan sorak-sorai sambutan hari raya ini, umat mestilah sentiasa memperhitungkan batasan syarak agar tidak melampaui batas dalam berpesta sehingga melakukan perbuatan menyanggahi hukum.

Aidilfitri harus difahami dalam konteks lebih luas yang merangkumi agenda pembentukan umat lebih cemerlang dan gemilang untuk terus menjalani rutin kehidupan dengan lebih bermakna terutama setelah selesai menjalani pelbagai latihan spiritual Ramadan.

Hakikatnya madrasah Ramadan yang sarat dengan pelbagai amalan ritual dan ibadah kerohanianlah yang mampu menjana generasi lebih berkualiti dan bermartabat.

Ini kerana sepanjang sebulan Ramadan, umat telah menekuni pelbagai ibadah seperti amalan berpuasa, Tarawih, tadarus al-Quran, Qiamullail, bersedekah dan beriktikaf di dalam masjid – merupakan sebahagian daripada agenda atau kurikulum penting yang mendasari madrasah Ramadan dalam membina ketakwaan dalam diri.

Kejayaan mentarbiah diri selama sebulan pada Ramadan kini disusuli pula dengan hari kegembiraan kurniaan ALLAH bagi memuliakan hambanya yang beriman sebagaimana firmanNya: Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadan dan supaya kamu membesarkan ALLAH (dengan Takbir dan Tahmid) kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur (Al-Baqarah:185)

Moga-moga kita diberi kesempatan sekali lagi oleh ALLAH untuk menjalani ibadah Ramadan pada tahun hadapan. Bagi umat Islam selamat bergraduasi daripada Universiti Ramadan esok.

Sama-samalah juga kita berdoa agar ALLAH menerima segala amalan kita sepanjang Ramadan ini. Penulis juga ingin mengambil kesempatan di sini mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin atas segala kesilapan sama ada yang disengajakan ataupun tidak.

Diterbitkan di www.sinarharian.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *