Home » Analitis » Menolak Sentimen Perkauman di Alam Siber

Menolak Sentimen Perkauman di Alam Siber

Photo by Vlad Deep on Unsplash

Oleh Abdul Qaiyum Aris

Unit Komunikasi Korporat dan Antarabangsa YADIM

 

Alam siber di Malaysia masa kini menjadi medan utama interaksi sosial masyarakat. Namun, landskap digital ini semakin dicemari oleh kebanjiran sentimen perkauman yang menggugat keharmonian negara. Dahulunya kecenderungan kita lebih secara bersemuka, kini berpindah ke platform media sosial dengan kesannya yang jauh lebih pantas, dan lebih membimbangkan setiap orang boleh menyuarakan apa sahaja yang ingin dikatakan.

 

Kadang-kadang ada dalam kalangan kita sanggup membina suatu naratif untuk menarik persepsi masyarakat mengikut hawa nafsu tanpa mengira impaknya akan menggugat kestabilan negara, seperti mewujudkan profil palsu untuk melemparkan provokasi antara kaum tanpa rasa takut kepada tindakan undang-undang. Kita sebagai rakyat Malaysia  perlu tahu dan menyedari, Malaysia adalah negara yang berbilang kaum, hidup aman dan harmoni dengan saling menghormati diantara satu sama lain sejak dari dahulu lagi.

Agama Islam memandang kepelbagaian bangsa dan budaya sebagai tanda kebesaran  Allah SWT., bukan alasan untuk bermegah-megah atau merendahkan kaum lain. Firman Allah SWT, ‘Wahai ummat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, (supaya kamu berkenal-kenalan dan beramah mesra diantara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang lebih takwanya diantara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).’  (Surah Al Hujurat : Ayat 13).

Ayat ini jelas menyatakan bangsa, warna kulit, loghat bukan penentu kemuliaan, yang membezakan kita hanyalah takwa. Apabila prinsip ini yang kita tanam, maka menghina kaum lain di media sosial menjadi suatu yang bercanggah dalam islam. Kita patut menyedari bahawa setiap ‘post’ yang berbaur pertelingkahan antara kaum termasuk dalam kategori ‘’berkata buruk’’. Ia bukan sekadar gurauan atau meluah rasa, yang pasti akan dicatat dalam buku amalan kita sebagai seorang islam. Lebih bahaya apabila hal itu mendapat ‘share’, ‘like’ dan komen yang tidak baik itulah yang akan menjerumus kepada membantu dalam membuat dosa yang Allah larang, yang pasti mendapat saham dosa berpanjangan.

Membina sentimen ini selalunya terjadi dengan 3 perkara iaitu ;

Ghibah & Namimah : Mengumpat dan mengadu domba , jika di alam siber ia terjadi seperti membuat ‘screenshot’ dan membuat ‘caption’ yang menghasut.

Su’uzzon : Berprasangka buruk terhadap sesuatu, Nabi SAW melarang berprasangka kerana ia seburuk-buruk ucapan.

Tafriqah : Memecah belahkan, ianya juga dilarang kerana Nabi SAW diutuskan untuk menyatukan bukan memecah belahkan.

Alam maya kini adakalanya dipenuhi dengan berita palsu yang sengaja direka untuk mencetuskan kemarahan pihak yang lain. Selidikilah atau tabayyun dahulu sebelum mempercayai atau menyebarkan sesuatu berita. Di Malaysia, kita beruntung kerana masyarakat boleh mengetahui kesahihan sesuatu berita dengan menyemak di Mycheck.my atau Sebenarnya.My yang ditubuhkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital. Secara tidak langsung kita dapat mengetahui info yang tepat dan menjadi pendidik kepada masyarakat supaya tidak menjadi ejen penyebar fitnah yang boleh meruntuhkan keharmohian negara. Alam Siber kini tiada sempadan, tapi syariat tetap ada sempadan. Setiap yang dilakukan adalah cerminan iman kita.

Dalam konsep Maqasid Syariah pula 5 perkara yang bertujuan besar dalam menjaga manusia, didunia dan akhirat, sebagai asas yang perlu kita tahu, iaitu Hifzud Din (Menjaga Nyawa)  Hifzun Nafs (Menjaga Nyawa), Hifzun Aql (Menjaga Akal), Hifz Nasl (Menjaga Maruah) dan Hifzun Mal ((Menjaga Harta). Jika dilihat asas maqasid ini, Islam mengutamakan kebaikan dalam menjaga diri dan Masyarakat. Jadi, jadikanlah media sosial ini sebagai alat menjaga maqasid ini, bukan meruntuhkannya. Apabila kita menyebarkan kebencian kaum, kita sedang merobek ikatan ukhwah yang perlu dijaga. Gunakanlah media ini untuk menyeru kepada perpaduan, saling berkongsi kisah-kisah sirah yang menyeru kepada keharmonian kaum.

Menolak sentimen perkauman di alam siber bukan sekadar takut kerana ‘kena report’ atau ‘ikut trend’. Tapi kerana kita takut kepada Allah dan kerana berusaha menegakkan keadilan dan menyebarkan konsep Rahmatan lil ‘Alamin (Rahmat ke seluruh Alam). Setiap dalam kalangan kita yang aktif di Media Sosial menggalas peranan sebagai duta yang membawa perpaduan sesama kaum. Kita perlu ingat, setiap zarah yang dilakukan akan diperhitungkan kelak, mungkin kita terlepas di dunia ini, tapi yakinkah kita akan terlepas apabila berhadapan dengan Sang Pencipta Rabbul Jalil?

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *