Home » Langit Terbuka » Meriah rai tiga perayaan

Meriah rai tiga perayaan

NUR Hafizatun Nisa (kanan) bersama ibunya, Kannammah (duduk) ketika menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga di Rumah Rakyat Dangi. Foto ; Harian Metro

KUALAPILAH 14 Feb – Biarpun sudah bertukar agama, wanita mualaf dari daerah ini, Nur Hafizatun Nisa Sin Abdullah, 26, dan suami, Mohd Hafizie Ram li, 30, tetap meraikan Tahun Baru Cina bersama ahli keluarga dalam suasana meriah.

Bukan saja perayaan itu, malah wanita berkenaan turut meraikan Deepavali berikutan ibu bapanya berkahwin campur.

Nur Hafizatun berkata, mendiang bapanya berketurunan Cina manakala ibunya, S Kannammah, 51, berketurunan India dan memiliki lapan anak.

“Walaupun saya memeluk Islam pada 2014, mereka (ibu bapa) tidak pernah menghalang.

“Setiap kali tibanya Deepavali dan Tahun Baru Cina, saya akan pulang ke rumah untuk bertemu semua ahli keluarga,” katanya.

Menurutnya, dia tidak keseorangan kerana suami turut menemani dan meraikan perayaan bersama saudara-mara yang berketurunan Cina dan India.

“Kami amalkan konsep 1Malaysia, malah tidak pernah timbul pertikaian agama mahupun bangsa.

“Sewaktu meraikan, saya akan menjaga batasan sebagai muslimah,” katanya ditemui di rumah ibunya di Rumah Rakyat Dangi, Johol.

Nur Hafizatun berkata, sempena Tahun Baru Cina pada Jumaat ini, semua ahli keluarganya akan makan besar bersama di rumah ibu mereka.

“Sebelum majlis berlangsung, saya akan memasak makanan di rumah di kuarters Balai Polis Dangi. Ia kemudian dibawa ke rumah ibu untuk dinikmati bersama,” katanya.

Katanya, dia juga menonjolkan akhlak yang baik ketika bersama keluarga bagi menunjukkan keindahan Islam.

“Dengan cara itu saja saya dapat membuktikan bahawa Islam agama yang sempurna.

“Alhamdulillah, ahli keluarga menerima saya seperti sediakala,” katanya.

Sementara itu Mohd Hafizie berkata, dia bersyukur kerana keluarga mentua dapat menerimanya.

“Mereka menerima saya sebagai keluarga yang baru dan saya dapat meraikan tiga perayaan,” katanya. – HARIAN METRO

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *