Home » Langit Terbuka » MERS-CoV daripada unta

MERS-CoV daripada unta

Pengendali umrah dinasihat tidak anjur lawatan ke ladang haiwan berkenaan

PUTRAJAYA 3 Jan. – Syarikat pengendali pakej um­rah dan ziarah dinasihatkan tidak menganjurkan lawatan ke ladang unta bagi mengelakkan jangkitan Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV), kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.

Beliau berkata, lawatan ke ladang haiwan itu boleh menda­tang­kan risiko jangkitan MERS-CoV  kepada jemaah umrah ke­rana jangkitan  respiratori yang di­sebabkan oleh virus korona disyaki berpunca daripada unta.

Menurutnya, perkara tersebut dibangkitkan dalam mesyua­rat Jemaah Menteri hari ini dan pihak kementerian menasihatkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Agama) untuk menasihatkan agensi pelanco­ngan agar tidak menyediakan pakej lawatan ke ladang unta.

“Kementerian  Kesihatan tidak boleh mengeluarkan larangan, jadi saya meminta kerjasama dua kementerian itu agar perkara ini boleh diumum dan dimaklumkan kepada jemaah umrah agar tidak perlu melawat ladang unta (di Tanah Suci) bagi mengelakkan daripada dijangkiti MERS-CoV,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya,  kedua-dua kementerian itu memberikan respon positif dan akan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan  jangkitan MERS-CoV dalam kalangan jemaah umrah, jemaah haji dan pelawat dapat dicegah.

Mengulas lanjut, Dr. Subramaniam berkata, seorang lelaki warga Malaysia yang disahkan dijangkiti MERS-CoV telah dimasukkan  ke wad isolasi di Hospital Sungai Buloh dan keadaannya dilaporkan stabil serta tidak bergejala.

Beliau berkata, sejak 30 Disember lepas, pihaknya telah menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan termasuk pengesa­nan kontak seramai 70 orang melibatkan anggota keluarga serumah, saudara mara, sahabat handai dan anggota kumpulan pakej umrah yang disertai oleh lelaki berusia 55 tahun itu.

Aktiviti  pengesanan turut dijalankan terhadap anggota kesihatan yang mengendalikan kes di klinik swasta yang dilawati dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang serta penumpang-penumpang yang duduk berhampiran dengannya bagi perjalanan pulang ke Malaysia pada 23 Di­sember lalu, katanya. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *