Home » Citra Yadim » Misi ke Acheh rapatkan hubungan Malaysia-Indonesia

Misi ke Acheh rapatkan hubungan Malaysia-Indonesia

KOTA KINABALU 8 Februari – Program Misi Ilmiah dan Kemanusiaan Acheh yang diadakan dari 25 hingga 29 Januari lalu disifatkan berjaya mendekatkan hubungan di antara rakyat Malaysia khususnya penduduk Sabah dengan penduduk Acheh dalam membantu mereka menghadapi kesan-kesan tsunami.

Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sabah, Samin Ongki berkata, melalui program berkenaan, rakyat Malaysia di Sabah dapat menyalurkan sumbangan mereka kepada saudara seagama di Acheh sekaligus menunjukkan bahawa mereka juga merasai penderitaan yang dialami.

“Program ini telah menyerlahkan peranan YADIM dalam isu-isu kemanusiaan bukan sahaja di Malaysia malahan di peringkat antarabangsa melalui bantuan yang diberikan bukan sahaja dalam bentuk material tetapi juga sokongan moral,’’ katanya.

Beliau menjelaskan program berkenaan adalah hasil kolaborasi pelbagai pihak iaitu YADIM Zon Sabah, Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Majlis Belia Sabah serta turut disertai oleh Mufti Sabah, Datuk Bungsu Aziz Jaafar.

Menurutnya, program berkenaan telah memberikan impak besar kepada peserta-peserta kerana mereka telah melawat beberapa lokasi yang teruk dilanda tsunami termasuk daerah Pidie Jaya serta Masjid Baiturrahman yang terselamat daripada bencana berkenaan.

“Mufti Sabah turut diberi penghormatan untuk menyampaikan kuliah Maghrib dan yang menariknya kuliah berkenaan telah disiarkan secara langsung oleh stesen radio di negara berkenaan,’’ katanya.

Selain itu, jelasnya, delegasi juga telah menyampaikan sumbangan yang merupakan derma dari rakyat Sabah kepada lima buah masjid yang terjejas teruk akibat gempa bumi pada 2016 dan tiga buah rumah anak yatim di sekitar Acheh.

Beliau berkata, delegasi juga berpeluang melihat usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak pemerintah dalam membantu mangsa bencana seperti pembinaan rumah-rumah transit.

“Selain itu, rombongan juga berpeluang melawat dan mendengar taklimat mengenai pelaksanaan undang-undang syariah di Acheh semasa lawatan ke Universiti Islam Negeri ar-Raniri, Banda Acheh,’’ katanya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *