Home » Langit Terbuka » MRSM Ulul Albab diperluas

MRSM Ulul Albab diperluas

AWANG ADEK HUSSIN menyampaikan sijil penghargaan dan sumbangan YPM kepada pelajar yang mendapat tawaran MRSM di Bachok, Kelantan, baru-baru ini. Foto : UTUSAN

Lahirkan hufaz muda yang memiliki kemahiran akademik arus perdana

BACHOK 9 Jan. – Majlis Amanah Rakyat (Mara) sedang mengkaji bagi merangka memperluaskan pelaksa­naan pengajian tahfiz di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk menjadi pilihan pelajar yang berminat menghafaz al-Quran.

Pengerusinya, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, kejayaan yang dicapai oleh MRSM Ulul Albab dalam melahirkan hufaz muda yang bukan hanya fasih al-Quran tetapi memiliki kemahiran akademik arus perdana menjadi model untuk melaksana program mini Ulul Albab di mana-mana MRSM yang terpilih.

Menurutnya, usaha yang dilaksanakan adalah selaras dengan aspirasi kerajaan ke arah melahirkan tenaga sumber profesional yang berpendidikan agama dan berakhlak mulia sebagaimana tuntutan Islam.

“Dalam konteks mini Ulul Albab pelajar sekurang-kurangnya mampu menghafaz 10 hingga 15 juzuk berbanding MRSM Ulul Albab yang perlu khatam 30 juzuk al-Quran.

“Hasrat melahirkan profesional dalam kalangan hufaz sebenarnya sudah berjaya direalisasikan apabila pendidikan tahfiz yang bermula di peringkat sekolah menengah hingga ke pusat pengajian tinggi. Kita sudah mempunyai jurutera, doktor dan lain-lain dalam kalangan hufaz,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan dan beg sekolah sumbangan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) kepada 33 pelajar yang ditawarkan ke Tingkatan Satu MRSM, di Pejabat UMNO Bahagian berkenaan, di sini, kelmarin.

Awang Adek berkata, Mara turut memberi keutamaan kepada pelajar miskin cemerlang dalam Penilaian Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) termasuk memiliki kecemerlangan Penilaian Asas Fardu Ain (PAFA) serta fasih membaca al-Quran untuk di­pilih mengikut modul pengajian di MRSM Ulul Albab.

“Setakat ini MARA mempu­nyai lima MRSM Ulul Albab iaitu di Kota Putera, Besut, Terengganu; Gemenchih, Negeri Sembilan; Kepala Batas, Kedah; Kuala Sungai Besar, Selangor dan Semporna, Sabah. MRSM ini memang menjadi pilihan ibu bapa.

“MRSM Ulul Albab yang keenam akan diwujudkan di MRSM Ketereh, Kota Bharu dalam tempoh yang terdekat,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Petronas bagi mewujudkan sebuah MRSM di Ranau, Sabah di mana syarikat berkenaan mengurus pembiayaan bangunan dan lokaliti manakala Mara akan mengurus tenaga akademik dan modul pembelajar dalam tempoh tiga tahun akan datang.- UTUSAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *