Home » Langit Terbuka » MRSM ‘ulul albab’ penuhi permintaan

MRSM ‘ulul albab’ penuhi permintaan

MRSM Kepala Batas, salah sebuah sekolah model ulul albab yang dibina oleh Mara.

BACHOK 8 Jan. – Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) model ulul albab yang dirancang Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi memenuhi permintaan ibu bapa dan anak-anak yang berminat dijangka disiapkan dalam masa tiga tahun akan datang.

Pengerusi Mara, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, terdapat cadangan lima ulul albab dirancang Mara setakat ini termasuk di Bera (Pahang), Bintulu (Sarawak), Ranau (Sabah), Ketereh dan Tanah Merah (Kelantan).

Beliau berkata, di Bintulu dan Ranau MRSM itu adalah dengan kerjasama Petronas, yang mana Petronas akan menyediakan bangunan dan selebihnya akan dikendalikan Mara.

“Setakat ini sudah ada 54 MRSM seluruh negara dan model ulul albab ini menjadi permintaan ramai ibu bapa dan pelajar.

“Namun dengan kosnya yang agak tinggi, Mara lebih berminat untuk adakan mini ulul albab. Ia mungkin tak perlu habiskan 30 juzuk tetapi hanya separuh sahaja. Melalui sistem ulul albab ini kita akan lahirkan golongan profesional yang hafiz, sekali gus melahirkan generasi yang seimbang dunia akhirat,” ujarnya selepas menyampaikan surat tawaran kemasukan MRSM kepada 33 pelajar Bachok, semalam.

Katanya, MRSM ulul albab ini akan dimulakan dengan tingkatan satu sehingga lima, dan pemilihan pelajar akan dibuat berdasarkan UPSR serta perlukan sijil agama di peringkat sekolah, boleh menghafaz al-Quran, melepasi temu duga dan keutamaan diberikan kepada  golongan berpendapatan rendah.

Selain itu, Awang Adek berkata, MRSM juga mempunyai sistem pendidikan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) merupakan sistem pendidikan dwi sijil yang diperkenalkan oleh Mara.

Menerusi program ini, pelajar ditawarkan dengan dua sijil pendidikan pra-universiti diiktiraf Kementerian Pendidikan iaitu Sijil Pelajaran Malaysia dan Cambridge IGCSE.

Setakat tahun 2017, terdapat 15 MRSM yang menawarkan program ini, di mana Mara menyasarkan 45 MRSM di seluruh Malaysia bakal melaksanakan program ini.

Dalam program IGCSE, pelajar akan pelajari dua jenis kurikulum iaitu Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang merupakan kurikulum piawai untuk pendidikan menengah di Malaysia serta kurikulum Cambridge Antarabangsa.

Pelajar akan ambil empat peperiksaan iaitu Peperiksaan Cambridge Checkpoint, Pentaksiran Tingkatan 3, Peperiksaan IGCSE dan SPM.- SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *