Home » Langit Terbuka » Mufti WP saran penghina nabi diberi kefahaman Islam

Mufti WP saran penghina nabi diberi kefahaman Islam

Mufti Wilayah Persekutuan berkata, tindakan menghukum semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah sekiranya kefahaman terhadap Nabi Muhammad tidak diterapkan. - Foto Sinar Harian

KUALA LUMPUR – Mufti Wilayah Persekutuan Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengesyorkan individu yang didapati menghina agama Islam disantuni untuk diajar mengenali agama.

Zulkifli berkata, tindakan menghukum semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah sekiranya kefahaman terhadap Nabi Muhammad tidak diterapkan.

“Kita perlu bertindak secara bersama, supaya tidak berlaku lagi pengulangan demi pengulangan, seolah-olah macam tidak ada apa-apa tindakan diambil terhadap isu ini. Biarlah sesuatu tindakan itu difahami dengan sebaiknya.

“Saya mengesyorkan kalau boleh, panggil orang tersebut dan terangkan hakikat, apakah yang mereka faham tentang Nabi Muhammad,” katanya selepas merasmikan pameran artifak Nabi Muhammad di PWTC, hari ini (26 Julai).

Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta orang ramai tidak berkongsi karikatur menghina Nabi Muhammad di media sosial walaupun akaun Facebook pelaku sudah dipadamkan.

Zulkifli pada masa sama mengingatkan umat Islam tidak mengambil tindakan sendiri atau melakukan provokasi terhadap pihak yang menghina Nabi Muhammad.

Sebaliknya, terus mengisi diri dengan ilmu dan kefahaman tentang Nabi Muhammad, supaya menentang tindakan mereka dengan menerangkan ajaran Islam dan keperibadian nabi.

“Kita jawab balik dengan kemukakan hujah dan terangkan hakikat sebenar. Sebab itu, ilmu dan maklumat perlu ada dalam diri setiap umat Islam.

“Namun, perlu diingatkan bahawa Allah marah dan tidak benarkan kita pula menghina tuhan lain, sebabnya nescaya penganut agama lain akan menghina Allah pula. Bukan kita mengiyakan tetapi meraikan dan menjaga sensitiviti,” katanya.

Terdahulu, polis dilaporkan menerima 11 laporan daripada NGO dan individu berhubung dakwaan menghina nabi di akaun Facebook “Wendy Loong”.

Polis berkata akaun itu dipercayai sudah dipadamkan tetapi akan terus mengesan pemiliknya.

Kes disiasat bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *