Home » Wacana » Muhasabah dengan bertaubat

Muhasabah dengan bertaubat

sumber

Pernahkah anda mendengar tentang kisah Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang telah menulis surat kepada seluruh pegawainya di segenap daerah ketika berlakunya musibah gempa pada zaman pemerintahan beliau? Apakah isi surat tersebut? Surat tersebut berisi arahan agar seluruh pegawainya memerintahkan kaum Muslimin untuk bertaubat kepada Allah SWT, memohon kepada-Nya dan meminta keampunan akan dosa-dosa yang mereka lakukan. (Majmu’ Fatawa Syaikh Bin Baz, 2/129)

Menyoroti teladan yang telah ditonjolkan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz itu, kita dapat melihat betapa beliau amat memahami firman Allah SWT dalam Surah al-Ankabut ayat 40 yang bermaksud:

“Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi dan ada yang kami timbuskan di bumi dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.”

Musibah yang Allah SWT turunkan berpunca dari tindakan dan perbuatan manusia juga. Firman Allah dalam surah As-Syura, ayat 30 maksudnya, “Dan musibah apa pun yang menimpa kamu adalah kerana perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan banyak (dari kesalahan-kesalahanmu).”

Sesungguhnya segala bencana yang berlaku itu harus diambil iktibar sebagai petanda kemurkaan Allah SWT. Ada seorang ustaz memberitahu, Malaysia dikira masih di dalam peliharaan kerana masih wujudnya orang yang bersujud kepada Allah dan mengalunkan azan serta ayat-ayat suci Al-Quran. Andai hilang semua itu, tunggu sahajalah musibah yang Allah mampu turunkan kerana murka terhadap kerosakan yang telah dilakukan oleh manusia.

Kita semua sedar sejak kebelakangan ini terlalu banyak ujian yang menimpa Malaysia. Misteri kehilangan MH370, tragedi MH17 dan QZ8501, banjir besar di Kelantan, gempa bumi di Ranau, Sabah, banjir lumpur dan kita tidak tahu apa lagi yang mahu Allah duga ke atas kita selepas ini. Hakikatnya, banyak mesej yang tersembunyi di sebalik semua itu.

Justeru, muhasabah yang sewajarnya dilakukan oleh setiap Muslim ketika dilanda musibah dan bencana ialah dengan beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT. Ali bin Abi Talib berkata, “Tidak ada musibah yang menimpa kecuali sebab dosa dan tidak ada yang mampu menghilangkannya kecuali dengan cara bertaubat.”

Sebagai contoh, ketika berlakunya tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airline System (MAS) MH370, hampir semua masjid dan surau seluruh negara mendirikan solat sunat hajat memohon agar segala urusan mencari dan menyelamat MH370 dipermudahkan dan semua mangsa yang terlibat ditemui dalam keadaan selamat. Begitu juga dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran di kaca-kaca televisyen. Ini adalah kesepakatan yang amat baik. Malah sangat indah seandainya amalan tersebut diteruskan bukan pada masa-masa tertentu sahaja.

Selain daripada mahu seluruh umat Islam bermuhasabah, ia juga adalah satu cara untuk Allah menduga kekuatan iman kita sama ada kita sabar, tabah dan redha. Juga adakah kita berada dalam jemaah iaitu bekerjasama dalam menghadapi situasi genting tersebut? Atau hanya mengkritik dan menuduh membuta tuli?

Firman Allah SWT dalam Surah an-Nahl ayat 112 yang bermaksud :

“Dan Allah telah membuat suatu perumpamaan (dengan) sebuah negeri  yang dahulunya aman lagi tenteram, rezeki datang kepadanya melimpah ruah dari segenap tempat, tetapi (penduduk)nya mengingkari nikmat-nikmat Allah, kerana itu Allah merasakan kepada mereka pakaian kelaparan dan ketakutan disebabkan apa yang selalu mereka perbuat.

Kita sudah tentu tidak mahu, Malaysia yang aman damai selama ini diuji dengan bencana yang amat hebat lagi seperti tsunami dan gempa bumi. Kedua-duanya pernah berlaku berlaku di sini tetapi masih mampu dihadapi dengan kekuatan yang Allah kurniakan di samping pengurusan bencana yang sistematik.

Sememangnya, kita takut dan gerun dengan musibah yang menimpa. Kita tidak pernah terfikir tragedi yang berlaku di kawasan Gunung Kinabalu dengan mengorbankan banyak nyawa, kerosakan harta benda, premis perniagaan dan kediaman penduduk. Selain menghadapi masalah bekalan air bersih kesan daripada kejadian yang tidak pernah diduga itu.

Mungkin inilah petanda yang Allah mahu turunkan kepada Malaysia. Malaysia yang sedang menuju negara maju, perlu akur bahawa untuk menjadi negara maju kita tidak perlu mencontohi budaya-budaya negatif negara barat. Acuan sebenar yang perlu kita miliki sudah tentulah acuan kita sendiri iaitu acuan Islam dan acuan timur.

Sudah tiba masa kita bermuhasabah. Merenung sedalam-dalamnya tanda-tanda awal yang Allah berikan ini supaya kita tidak menjadi seperti Kathmandu, yang dikatakan mempunyai ribuan berhala di sana. Begitu juga dengan suhu panas dan kering yang menimpa Pakistan ketika ini. Kita sebagai hamba Allah sudah tentu tidak wajar menghukum atas apa yang berlaku di Nepal dan Pakistan itu kerana Allah Maha Tahu Segala-galanya. Namun, kita dibenarkan menganalisis dengan tujuan untuk merenung kesilapan kita sendiri.

Alangkah moleknya sekiranya kita dapat memulakan amalan solat sunat taubat di masjid-masjid atau di mana-mana sahaja secara berjemaah, memohon segala keampunan kepada Allah atas segala dosa dan kesilapan yang telah kita lakukan sama ada yang kita sedari mahupun sebaliknya. Biar semua umat Islam di Malaysia semakin sedar bahawa kemurkaan Allah itu boleh datang pada bila-bila masa sahaja sekiranya kita  terus membiarkan kemaksiatan bermaharajalela di atas bumi Malaysia ini.

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *