Home » Langit Terbuka » Mujahid hasrat perkenal tahfiz agro

Mujahid hasrat perkenal tahfiz agro

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, beliau akan mencadangkan kepada kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri Bahagian Hal Ehwal Agama Islam untuk diadakan satu tahfiz agro. - Foto Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berhasrat menjadikan pendidikan pertanian sebagai satu daripada cabang institusi tahfiz di negara ini menerusi konsep tahfiz agro.

Beliau berkata, menerusi usaha tersebut, sesebuah institusi tahfiz termasuk pelajarnya bukan sahaja dapat mempelajari kemahiran tambahan tetapi turut menambahkan ilmu dalam bidang pertanian dan penternakan.
Tambah Mujahid, sekiranya terdapat mana-mana institusi tahfiz menggunakan konsep tahfiz agro, ia secara tidak langsung mampu memberi pendapatan kepada sesebuah sekolah atau pondok berkenaan serta menjana ekonomi umat Islam.

Saya akan cadangkan kepada kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri Bahagian Hal Ehwal Agama Islam untuk adakan satu tahfiz agro.

“Sebelum ini kita ada tahfiz yang mengikuti pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), ada juga tahfiz profesional dan tahfiz kejuruteraan. Tapi tiada lagi tahfiz agro,” katanya ketika berucap merasmikan Maahad Tahfiz al-Quran Wal Imamah (Matqi) di Klang, Selangor semalam, menurut kenyataan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri di sini.

Menurut kenyataan itu, konsep tahfiz agro merupakan satu usaha murni memartabatkan institusi tahfiz negara selain daripada pelbagai peruntukan yang diberikan.

Jelas pejabat menteri itu lagi, sebelum ini, kerajaan telah memperuntukkan RM50 juta untuk penambahbaikan infrastruktur institusi tahfiz, RM5.55 juta untuk bantuan perkapita murid tahfiz dan RM25 juta untuk penambahbaikan infrastruktur institusi pondok.

Mujahid juga berkata, idea konsep tahfiz agro timbul selepas melihat persekitaran Matqi yang dimiliki pengetuanya, Azrul Hakim.

Katanya, konsep yang digunakan di maahad tahfiz berkenaan sangat menarik kerana hasil tanaman serta ternakan akan dikembalikan kepada sekolah berkenaan.

“Tahfiz pertanian, kita boleh tengok berapa ekor kambing dan ayam ada, dan orang infak (sumbang) wang mereka dengan pembelian berkenaan. Wang itu kemudian dikembalikan semula ke sekolah. Satu idea yang bagus dan konsep tahfiz agro ini kita perluaskan,” katanya.

Pelbagai hasil ternakan dan tanaman yang diusahakan pengetua serta pelajar Matqi termasuklah ayam kampung, itik, ikan keli, ikan patin serta beberapa ekor baka kambing, biri-biri serta 100 ekor lembu. – Utusan Malaysia.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *