Home » Langit Terbuka » Mujahid: Saudi tiada ‘masalah’ dengan penutupan pusat keamanan Raja Salman

Mujahid: Saudi tiada ‘masalah’ dengan penutupan pusat keamanan Raja Salman

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, beliau difahamkan Arab Saudi tidak ada masalah dengan penutupan pusat itu, disebabkan negara berkenaan mengamalkan konsep menghormati keputusan negara lain termasuk Malaysia

PETALING JAYA – Keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghentikan operasi Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) tidak akan menjejaskan hubungan Malaysia dan Arab Saudi, kata Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Menteri di Jabatan Perdana itu memberitahu FMT beliau bertemu pegawai yang terlibat dengan KSCIP.

“Dia perkenalkan diri sebagai setiausaha agung pusat ini, saya menyatakan kepadanya bahawa kita berkongsi perkara sama dari sudut melawan keganasan, dari sudut sebuah pusat yang mahu diwujudkan di Malaysia, itu adalah isu teknikal sahaja.

“Saya difahamkan, Arab Saudi tidak ada masalah dengan penutupan itu, ia disebabkan Arab Saudi mengamalkan konsep menghormati keputusan negara masing-masing, termasuk keputusan negara kita,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu memutuskan untuk menghentikan operasi pusat itu dan fungsi KSCIP akan diserap ke dalam Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS) di bawah Kementerian Pertahanan.

Mujahid berkata, bukti hubungan baik antara Malaysia dan Arab Saudi dapat diterjemahkan dalam bentuk layanan istimewa yang diberikan kerajaan itu kepada jemaah haji dari negara ini.

Beliau turut dimaklumkan Arab Saudi menghormati keputusan Malaysia menarik balik anggota tentera Malaysia yang ditempatkan di Arab Saudi sebagai sebahagian pakatan dalam kempen ketenteraannya di Yaman.

“Negara kita dengan kerajaan baru jelas menyebut kita tidak mahu campur tangan dengan urusan peperangan negara orang dengan negara lain,” ujarnya. – FMT

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *