Home » Citra Yadim » Multaqa berjaya mendapatkan pelbagai pandangan golongan muda

Multaqa berjaya mendapatkan pelbagai pandangan golongan muda

BANDAR BARU BANGI 28 Ogos – Multaqa Belia dan Ilmuwan Muda anjuran Majlis Dakwah Negara (MDN) Yadim, telah berjaya mendapatkan pelbagai maklum balas dan pandangan daripada golongan muda berhubung isu sosial, ekonomi dan pendidikan.

Pengerusi Kumpulan Kerja Belia dan Ilmuwan Islam, Panel Perunding Perpaduan Ummah (PPPU), MDN, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata,  secara keseluruhannya golongan muda berkenaan sememangnya amat peka dengan isu semasa terutama yang berkaitan dengan mereka dan mempunyai banyak idea yang boleh diketengahkan.

“Antara yang dibawa oleh golongan muda ini adalah mengenai kebimbangan mereka terhadap pendidikan orang Melayu Islam yang masih ketinggalan.

“Keadaan ini menurut mereka juga menyumbang kepada isu sosial akibat kurangnya kesedaran individu terbabit dalam memajukan diri sendiri,’’ katanya.

Selain itu, terdapat juga pandangan yang menyatakan bahawa golongan muda perlu dilibatkan secara langsung kepada pembangunan negara kerana mereka merasai bahawa peranan mereka kurang diberikan penekanan.

Jelasnya, pihak PPPU mengambil berat semua pandangan yang diberikan dalam multaqa berkenaan dan akan membincangkan lebih lanjut mengenai isu berkenaan untuk diambil tindakan seterusnya seperti membawanya kepada pihak yang berkaitan.

Dalam multaqa hari ini yang bertemakan `Belia Islam… 10 Tahun Akan Datang’ itu, lebih 200 peserta hadir yang terdiri daripada pimpinan badan bukan kerajaan (NGO) Islam, aktivis, ahli akademik, pimpinan pelajar pusat pengajian tinggi, pelajar sekolah dan individu yang berumur bawah 35 tahun.

Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk mengumpulkan seramai mungkin tokoh belia dan ilmuwan muda dari pelbagai bidang kemahiran dan latar belakang kecenderungan untuk mendapatkan pandangan mereka terhadap masa depan belia Islam 10 tahun akan datang.

Selain itu, program ini juga bertujuan mewujudkan persefahaman, permuafakatan dan juga kesatuan  di kalangan generasi muda dan belia Islam  agar  segala  kemahiran, ilmu, tenaga dan juga masa muda mereka dapat dimanfaatkan untuk membina perpaduan ummah dan juga pembangunan negara berasaskan kepada  ketamadunan Islam.

Melalui program ini, MDN juga berharap dapat membina hubungan strategik dengan beberapa tokoh belia dan ilmuwan muda yang terlibat secara langsung dalam aktiviti golongan muda dan pembangunan generasi muda dengan harapan hubungan ini akan dapat dimanfaatkan oleh semua pihak.

Pada akhir program ini, beberapa Kumpulan Kerja di bawah  Kumpulan Kerja Belia dan Ilmuwan Muda, Panel Perunding Perpaduan Ummah-MDN  dapat ditubuhkan bagi menggerakkan agenda pendidikan, sosial dan ekonomi agar ia dapat menjadi pemangkin kepada perpaduan ummah di kalangan generasi muda pada masa akan datang.

Penganjuran Multaqa Belia dan Ilmuwan Muda ini adalah satu kesinambungan daripada Multaqa Perpaduan Ummah anjuran  MDN yang telah diadakan sebelum ini pada 18 Mei 2016 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM).

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *