Home » Citra Yadim » Multaqa keluar resolusi tujuh perkara

Multaqa keluar resolusi tujuh perkara

KUANTAN 19 Ogos – Multaqa Ilmuwan Dan Profesional Pahang yang dianjurkan oleh Majlis Dakwah Negara (MDN) dan Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) hari ini di Grand Darulmakmur Hotel, Kuantan, Pahang telah mengeluarkan satu resolusi hasil daripada perbincangan yang diadakan.

Resolusi berkenaan adalah seperti berikut:

Bersesuaian dengan tema Multaqa Ilmuan Dan Profesional Pahang iaitu “Peranan Ilmuwan dan Profesional Pahang Dalam Memangkin Kelestarian Dakwah dan Pembangunan Ummah”; yang bersidang pada 19 Ogos 2017 bersamaan 26 Zulkaedah 1438, di Hotel Dewan Astana Grand Darul Makmur, Kuantan maka kami para ilmuan dan profesional Pahang bersetuju dengan menzahirkan beberapa resolusi seperti berikut :

PERTAMA

Kami, yang bersidang di Multaqa ini ingin merafa’ sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas Titah DiRaja Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang di Majlis Perasmian Mutaqa hari ini yang menitahkan supaya semua pemimpin dan pihak pentadbiran Kerajaan Negeri serta rakyat agar menghormati kuasa Ke Bawah Duli Yang Maha Sultan Pahang sebagai Ketua Kerajaan dan Ketua Agama sebagai pemerintah di negeri ini seperti termaktub dalam Undang-Undang Tubuh negeri Pahang. Setiap perkara dan juga hal ehwal pembangunan di negeri ini perlulah di sembah maklum kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dalam setiap keadaan.

KEDUA

Menerusi Titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang di akhir Titah Baginda di Majlis Perasmian Multaqa hari ini yang menitahkan serta memberi perkenan supaya kumpulan Ilmuan dan Profesional yang diterajui oleh Majlis Dakwah Negara dan Majlis Ugama Islam Pahang supaya menubuhkan kumpulan Think Thank untuk memberi pandangan dan nasihat kepada baginda dari masa ke semasa untuk kelestarian pembangunan dakwah dan ummah di negeri Pahang ini ; maka kami menyokong agar Majlis Dakwah Negara dan juga Majlis Ugama Islam Pahang menubuhkan dengan segera kumpulan Think Thank tersebut.

KETIGA

Kami berazam dan beriltizam untuk berperanan sebagai Rakan Strategik Dakwah kepada Mjalis Ugama Islam Dan Adat Melayu Pahang, Jabatan Agama Islam Negeri Pahang, Jabatan Mufti Negeri Pahang serta lain-lain agensi dan Pertubuhan-pertubuhan Islam dalam memperkasa agenda dakwah serta meningkatkan pembangunan syiar Islam di Negeri ini.

KEEMPAT

Kami yang bersidang di Multaqa pada hari ini ingin menegaskan bahawa pegangan akidah yang berasaskan kepada Ahli Al-Sunnah Wal-Jamaah merupakan satu konsep yang perlu diamalkan di negeri Pahang kerana ianya merupakan pegangan majoriti umat Islam di negara ini dan ianya adalah faktor terpenting untuk penyatuan ummah.

KELIMA

Kami akan berusaha untuk memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi pendidikan yang mengendalikan atau memiliki pusat-pusat pengajian di semua peringkat pendidikan agar matlamat, falsafah dan kurikulum yang dilaksanakan dapat diselaraskan dan diperkasakan.

Dengan itu, kami mencadangkan supaya Majlis Dakwah Negara menubuhkan Panel Pembangunan Pendidikan Ummah yang diwakili oleh pihak-pihak yang menguruskan institusi pendidikan di semua peringkat dan juga pakar-pakar di bidang pendidikan daripada kalangan anak-anak negeri Pahang bagi menyalurkan pandangan dan hasil kajian mereka kepada Jawatankuasa pendidikan yang telah ditubuhkan di bawah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, yang di pengerusikan oleh SS Mufti Negeri Pahang, untuk pembangunan dan kelestarian pendidikan ummah di Pahang.

KEENAM

Menyedari bahawa amat pentingnya peranan masjid dalam membangunkan ummah dari aspek kerohanian, ekonomi, sosio budaya dan pendidikan tidak formal maka Institusi ini perlu diperkukuhkan dengan mengwujudkan jaringan kerjasama pintar dengan pelbagai pihak berkepentingan sebagai wahana transformasi ummah di masa hadapan.

KETUJUH

Memperkasa ekonomi dengan menggembeling penglibatan semua pihak sama ada di peringkat agensi kerajaan atau syarikat swasta bagi meningkatkan perekonomian masyarakat Islam di negeri Pahang. Penerapan nilai inovasi dalam kalangan usahawan perlu diterapkan melalui pendidikan atau latihan bagi menaik taraf ekonomi masyarakat Islam. Maka; kami bersetuju untuk menubuhkan kumpulan pakar ekonomi untuk memberikan sumbangan idea, panduan dan pandangan bagi memperkasakan serta mengukuhkan Institusi wakaf, meningkatkan taraf ekonomi golongan asnaf, ibu tunggal, membimbing masyarakat belia dalam perniagaan di negeri ini.

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *