Home » Langit Terbuka » MyWakaf bakal dilaksanakan

MyWakaf bakal dilaksanakan

IDRIS JUSOH bersama ahli-ahli panel dan jawatankuasa penganjur Forum Pendidikan Tinggi 2018 Ekonomi Islam @4IR: Kebangkitan Semula Wakaf di Kuala Lumpur, semalam. – Foto : Utusan

KUALA LUMPUR 23 Feb. – Kementerian Pendidikan Tinggi akan mewujudkan tabung MyWakaf untuk setiap pelajar di universiti awam dalam masa terdekat.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pelaksanaan MyWakaf dapat membudayakan sifat menabung sambil menderma serta membolehkan pelajar menjadi penyumbang dalam struktur wakaf walaupun dalam jumlah yang sedikit.

“Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menerajui sistem baharu ini dan saya pasti kita akan mendapat banyak manfaat mela­luinya. Sebagai contoh, jika pelajar ini simpan RM100 dalam tabung MyWakaf, dividen yang diperoleh daripada tabung ini untuk tahun berikutnya akan diwakafkan.

“Untuk peringkat awal kita akan gerakkan di peringkat kementerian dan institusi pendidikan tinggi dahulu, dan untuk masa depan kita belum pasti sama ada akan memperluaskannya meli­batkan semua rakyat,” katanya kepada pemberita selepas me­nyempurnakan majlis penutup Forum Pendidikan Tinggi (HEF) 2018 Ekonomi Islam @4IR: Kebangkitan Semula Wakaf anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi di sini hari ini.

Menurut Idris, sebanyak 14 universiti awam sudah menubuhkan Unit Wakaf masing-masing selepas bermula di UPM dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Pelaksanaan wakaf di universiti awam berkembang baik, bahkan UPM kini berjaya mengumpulkan aset lebih RM10 juta.

“Universiti boleh menjadi te­naga pengembang wakaf untuk negara. Pewujudan Unit Wakaf di universiti awam dapat menjadi contoh pembangunan wakaf di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Idris menyarankan semua negara Islam bersatu mewujudkan Yayasan Global Wa­­kaf bagi mengumpul dana di mana dana-dana itu boleh disa­lurkan kepada golongan yang memerlukan.

“Wakaf ialah struktur dana kebajikan yang terbaik dalam dunia, jadi mengapa kita tidak memanfaatkannya?

“Bukan itu sahaja, dana daripada wakaf bukan hanya untuk orang Islam tetapi juga boleh digunakan membantu orang bukan Islam malah penderma juga boleh datang dari orang bukan Islam,” katanya. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *