Home » Langit Terbuka » Naikkan cukai orang kaya

Naikkan cukai orang kaya

Ketua Penganalisis Ekonomi Alliance Bank berkata, sekiranya mahu merapatkan jurang dalam kalangan rakyat Malaysia, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk meningkatkan cukai pendapatan bagi kumpulan T20 pada pembentangan Bajet 2019 memandangkan mereka menyumbang sehingga 46.2 peratus daripada keseluruhan pendapatan di negara

KUALA LUMPUR – Jurang pendapatan antara orang kaya dan miskin masih lagi menjadi satu isu yang sukar ditangani, malah meningkat dua kali ganda berbanding dua dekad lalu, menurut Laporan Keadaan Isi Rumah 2018: Realiti Berbeza.

Laporan itu yang dikeluarkan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) minggu lalu menunjukkan walaupun krisis ekonomi pada 1987 dan kemudiannya krisis kewangan Asia 1997/1998 menyaksikan penurunan dalam ketidakseimbangan pendapatan antara isi rumah kaya (T20), pertengahan (M40) dan berpendapatan rendah (B40), namun perbezaannya tidak banyak.

Gini Co-efficient yang digunakan untuk mengukur jurang pendapatan ini juga menurun daripada 0.513 mata pada 1970 kepada 0.399 mata pada 2016, menunjukkan peningkatan dalam ketidakseimbangan pendapatan di Malaysia sepanjang 46 tahun lalu.

Ketua Penganalisis Ekonomi Alliance Bank, M. Manokaran berkata, sekiranya mahu merapatkan jurang ini dalam kalangan rakyat Malaysia, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk meningkatkan cukai pendapatan bagi kumpulan T20 pada pembentangan Bajet 2019 memandangkan mereka menyumbang sehingga 46.2 peratus daripada keseluruhan pendapatan di negara ini.

“Jika kerajaan laksanakan pertimbangan ini dengan kenaikan kadar cukai T20 sebanyak 0.5 peratus, kerajaan boleh mengutip cukai pendapatan tambahan kecil sebanyak RM700 juta,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Pada 2016, pendapatan median bagi T20 ialah RM13,148 daripada RM11,610 pada 2014, berbanding pendapatan median B40 hanya RM3,000 iaitu 22.8 peratus daripada pendapatan golongan kaya.

Isi rumah yang memperoleh pendapatan lebih RM13,000 sebulan pula membentuk 10.3 peratus daripada jumlah isi rumah di negara ini (hampir 716,000 daripada 6.95 juta isi rumah).

“Setakat 2018, kadar cukai bagi individu yang berpendapatan melebihi RM12,500 sebulan (T20) adalah 24.5 peratus, 25 peratus, 26 peratus dan 28 peratus.

“Jadi secara mudah kerajaan kemungkinan boleh mengumpul secara purata sebanyak RM1,000 bayaran cukai tambahan setahun bagi setiap individu yang jatuh dalam kategori pendapatan RM150,000 hingga RM250,000 setahun (iaitu RM12,500 hingga RM20,833 sebulan),” katanya.

Kajian KRI itu mencadangkan pembuat dasar supaya melakukan sesuatu menjangkau ukuran Gini Co-efficient semata-mata, yang mewakili perbezaan relatif dalam pendapatan termasuk langkah-langkah untuk menangani jurang pendapatan mutlak.

Malah, kajian tersebut turut menunjukkan isi rumah berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan membelanjakan 94.8 peratus daripada pendapatan untuk penggunaan manakala keluarga yang mempunyai pendapatan lebih RM15,000 sebulan hanya membelanjakan 45 peratus daripada pendapatan bulanan. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *