Home » Citra Yadim » NUIM bantu perjelas kekeliruan masyarakat.

NUIM bantu perjelas kekeliruan masyarakat.

Abdul Halim Yusof (berdiri) dalam Mesyuarat Kluster NUIM di Kuala Lumpur.

KUALA  LUMPUR – Nadwah Ulama dan Ilmuan Malaysia (NUIM) yang dianggotai oleh pakar pakar dalam pelbagai bidang akan antara lain berperanan menangkis fitnah dan menjelaskan kekeliruan yang timbul di kalangan masyarakat.

Pengerusi Kluster Media NUIM, Raja Shamri Raja Hussin berkata, bagi mencapai tujuan tersebut entiti itu tidak akan mengambil pendekatan agresif, sebaliknya berusaha menerangkan dan menanganinya dengan cara berhemah dan rahmah.

“Ini sebenarnya selari dengan tagline Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sendiri iaitu Fastabiqul Khairat (berlumba lumba melaksanakan kebaikan) serta gagasan Rahmatan Lil Alamin yang diterapkan kerajaan ketika ini.

“Apabila ini dilaksanakan, NUIM juga sebenarnya membantu mempromosi kedua dua konsep berkenaan,” katanya dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kluster NUIM di sini hari ini (22 Mei).

Mesyuarat tersebut merupakan antara langkah awal NUIM dalam melaksanakan tugasnya selaku badan penasihat dan pemikir yang bertujuan membantu gerak kerja dakwah YADIM.

Antara yang hadir ialah Penasihat NUIM, Datuk Wira Ust Hj Abdul Ghani Samsudin,
Pengerusi, Dato’ Dr Abdul Halim Bin Yusof, Setiausaha Kehormat, Dr. Hajar Opir, Pengerusi Kluster Komunikasi Silang Budaya, Abdul Naser Bin Abd Rahman, Pengerusi Kluster Kebajikan Ust Azhar Ab Shukur serta Pengerusi Kluster Undang Undang, Dr Hj Azmi Bin Harun.

Hadir mewakili YADIM ialah Pengarah Kanan Sektor Pembangunan Ummah dan Wanita YADIM, Ustaz Hafiz Musa.

Dalam pada itu, mengulas lanjut Raja Shamri berkata, bagi mencapai tujuan tersebut NUIM bercadang menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak untuk membantu merealisasikannya.

“Sebagai permulaan, NUIM berhasrat menjalin hubungan dengan pelbagai agensi media di negara ini.

“TV Al Hijrah dan Ikim.FM selaku organisasi di bawah Jabatan Perdana Menteri disasarkan sebagai rakan strategik awal bagi tujuan jalinan kerjasama,” kata beliau.

Tambah beliau, kelak kerjasama itu akan diperluaskan kepada badan badan bukan kerajaan (NGO) pendidikan, dakwah, peguam Muslim, institusi pengajian tinggi dan sebagainya.

Dalam pada itu Halim berkata, pendekatan bekerja bersama akan diamalkan pihaknya dalam menjalin kerjasama dengan NGO dan badan lain.

“NUIM tidak akan berpandangan mereka yang kita jalin hubungan ini bekerja untuk kami, sebaliknya NGO NGO ini akan bekerja bersama NUIM,”ujarnya.

Sementara itu, beberapa aktiviti telah dirancang oleh NUIM sepanjang tahun ini sebagai sebahagian gerak kerjanya.

Antara yang dicadangkan termasuklah Program Meja Bulat Penghayatan Rahmatan Lil Alamin, Konvensyen Media Muslim Kebangsaan, Multaqa Ulama Serantau, Majlis Apresiasi YADIM  selain terlibat dengan menghantar wakil ke majlis korban dalam luar negara.

Turut diputuskan hari ini ialah tagline badan ini iaitu ‘Peneraju Pemikiran Rahmah’.

NUIM merupakan badan yang ditubuhkan oleh YADIM sejak 2001 bagi menghimpun cendiakawan dan pemikir Islam di negara ini sebagai Panel Penasihat Pakar YADIM dalam isu-isu berkaitan pendidikan, sosial dan kebajikan.

Penubuhan NUIM adalah hasil daripada pembentangan Kertas Dasar Dakwah Baru YADIM dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM ke-65 pada 16 Julai 2001 dan Pengerusinya yang pertama ialah tokoh ilmuwan Islam iaitu Allahyarham Dr Uthman El- Muhammady.

Antara objektif awal penubuhan NUIM adalah sebagai satu landasan para ulama dan ilmuwan untuk mengadakan sesi perbincangan bagi menghasilkan pelbagai resolusi/kertas cadangan dalam pelbagai disiplin keilmuan untuk dikemukakan kepada pihak yang berkaitan.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *