Home » Persuasif » Orang kampung balik beraya

Orang kampung balik beraya

sumber

Bijan orang kampung. Mak bapak Bijan ada di kampung nun di selatan Semenanjung. Sebulan atau dua bulan sekali Bijan angkut anak isteri balik ke kampung yang menjadi tanah kelahiran dan saksi kepada zaman kanak-kanak dan remajanya. Sungguh, Bijan sangat cintakan desa halamannya. Memori suka dan duka terpahat di situ. Itulah juga yang sering Bijan ceritakan kepada anak-anak setiap kali mereka meluangkan masa bersama-sama di rumah atau berada di dalam kereta.

Dengan anak-anak, Bijan cipta dunia persahabatan antara dia dan Awatif dan Adnin. Dia mahu kedua-dua anak gadisnya merasai keberadaan seorang bapa dalam lingkungan dunia pembesaran mereka. Sedia untuk berkongsi apa-apa sahaja cerita dengannya. Begitu juga dengan isterinya.

Bercerita tentang balik kampung, ada masa-masa memang Bijan tidak cukup duit untuk pulang. Ada kewajipan yang perlu dilunaskan. Bijan kena selesaikan pembayaran insurans kereta dan cukai jalan yang telah tamat tempoh dan kadang-kala kereta Bijan yang dua buah itu perlu diservis dan mungkin juga ada kerosakan di mana-mana. Namun, bila hati dipaut untuk pulang, dia akan pulang.

Bijan positif. Masa bersama-sama dengan mak bapak bukannya banyak mana pun diperuntukkan. Tidak perlu Bijan terlalu berkira-kira dan mencongak, yang dia akan kehabisan duit sebaik sahaja pulang ke ibu kota. Duit boleh dicari, tapi mak dan bapak itu sahajalah satu-satunya.

Pernah sekali duit dalam akaun hanya ada RM200. Bapak telefon suruh balik sebab mak jatuh sakit. Sebaik sahaja talian dimatikan, Bijan pandang muka isteri yang sedang menyusukan Adnin. Sayangnya Bijan pada isteri kerana si isteri ini sangat bijak menelah perubahan wajah Bijan.

Isteri memujuk. Isteri yang bekerja sebagai pembantu tadbir itu pun manalah ada gaji yang besar. Dia pun sudah banyak membantu Bijan. Menutup lompong-lompong yang tidak mampu ditutup oleh Bijan. Sementelah mereka baharu sahaja melangsaikan yuran tuisyen Awatif yang akan menduduki UPSR dan mengganti tayar kereta Viva yang telah haus.

Bijan masih belum beri kata putus kepada mak. Dia tahu mak rindukan cucu-cucunya. Kalau ayat tak dapat balik itu yang disuakan ke telinga mak, Bijan seratus peratus pasti mak akan sedih. Walaupun, mak akan kata tak mengapa. Nak buat macamana kalau tak boleh balik. Sakit dada Bijan kalau terpaksa mengecewakan mak.

Setelah berbincang dan berpakat dengan isteri, mereka bersetuju untuk pulang. Tambah RM100 yang dihulur oleh isteri, mereka akan berbekalkan RM300 sahaja untuk pulang. Cukuplah untuk duit tol dan minyak. Bijan lapangkan dada. Insya Allah, mana tahu Allah akan beri rezeki daripada sumber yang tidak disangka.

Bijan sedang solat Isyak apabila tiba-tiba dia rasakan isteri sedang duduk bersimpuh di tepinya. Sebaik sahaja salam kiri diberi, wajah isteri yang tersenyum lebar membuatkan dia cuak. Sudah tentu-tentu Bijan hairan. Sampul surat kecil berwarna coklat dunjukkan kepadanya. Dia buka lantas keluar not-not RM50. Bijan terpinga-pinga. Itu adalah RM1000 yang ditemui oleh si isteri dalam sampul surat yang diselitkan di celah-celah pakaian, benar-benar melegakan Bijan.

Itu duit kutu yang disimpan untuk perbaharui insuran dan cukai jalan kereta bulan hadapan. Isteri lupa yang dia menerima duit itu dua bulan lepas. Baharu sekejap tadi dia teringat yang dia seperti ada menyimpan duit di rumah. Bijan gembira tidak terperi. Bijan yakin bila kita berniat baik, Allah pasti akan lorongkan jalan yang mudah dan tidak dijangka. Malam itu mereka bergerak pulang dengan hati yang sangat lapang dan syukur yang tidak terkira.

Bagi Bijan, menggembirakan hati mak bapak adalah perkara yang paling utama. Dia tidak nafikan, pulang ke kampung akan melibatkan penggunaan wang yang agak besar. Tetapi, dia bersyukur kerana isteri tidak pernah mendesak dan meminta-minta benda yang bukan-bukan semata-mata untuk menunjuk-nunjuk kepada saudar-mara dan orang kampung.

Raya sudah dekat. Bijan sekeluarga tidak perlukan kereta baharu untuk beraya. Isteri tidak perlukan barang kemas baharu. Perabot apatah lagi. Lagipun mereka akan habiskan masa di kampung selama seminggu. Kalau ada orang beraya ke rumah mereka nanti pun, tidak ada pula rasanya yang sibuk bertanya kenapa tidak tukar sofa, langsir, karpet? Makna raya bukan itu bagi Bijan.

Orang yang sibuk tentang perkara-perkara itu, sudah tentu orang yang banyak duit. Orang yang tidak kisah duitnya dialirkan kepada benda-benda yang baharu yang itulah yang membuatkan mereka bahagia.

Paling penting adalah meluangkan masa bersama orang tua. Mengeratkan silaturahim dengan saudara mara dan sahabat handai yang jarang ditemui. Alangkah sedihnya mak bapak, waktu yang paling bermakna untuk habiskan masa bersama-sama, kita tiada di sisi mereka. Jangan kerana takut duit habis, kita biarkan mereka menangis.

 

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *