Home » Langit Terbuka » Orang ramai kecam tulisan jawi pada patung

Orang ramai kecam tulisan jawi pada patung

PULAU PINANG 31 Ogos – Sebuah patung beruang yang tertera hadis diriwayatkan Imam al-Bukhari yang dieja dalam tulisan jawi di bahagian belakang badan mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk negeri ini.

Gambar patung beruang yang dipamerkan di Padang Kota Lama di sini dipercayai sejak beberapa hari lalu itu turut menjadi viral di laman sosial.

Rata-rata orang ramai mengecam tindakan tidak sensitif pihak bertanggungjawab mempamerkan patung itu memandangkan hadis dalam tulisan Jawi ber­kenaan terletak pada bahagian atas punggung patung beruang keemasan berkenaan.

Difahamkan, patung beruang itu dipamerkan United Buddy Bears Penang sempena program The Art of Tolerance.

Bagaimanapun, tinjauan Utusan Malaysia petang ini mendapati patung beruang berkenaan yang merupakan sebahagian daripada lebih 100 patung yang dipamerkan sempena program itu sudah ditanggalkan.

Dalam pada itu, Mufti negeri, Datuk Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor menasihatkan pihak pengan­jur merujuk kepada pihaknya atau majlis agama Islam negeri terlebih dahulu sekiranya terdapat perkara berkaitan Islam dalam sebarang program yang dianjurkan.

Menurut beliau, meskipun pameran itu bertujuan positif iaitu menggalakkan kedamaian dan persatuan antara sesama manusia tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan budaya, kewujudan tulisan jawi di tempat tidak sesuai boleh menimbulkan salah faham orang ramai terutama masyarakat Islam.

“Saya berterima kasih kepada pihak berkenaan kerana mengambil langkah segera membuang patung itu bagi mengelak reaksi tidak sihat daripada kalangan yang mungkin tersalah tafsir sebagai menghina Islam atau mengelak daripada dieksploitasi pihak tertentu,” katanya.

https://www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *