Home » Langit Terbuka » Pakar ular menghembuskan nafas terakhir

Pakar ular menghembuskan nafas terakhir

TEMERLOH 15 Mac – Selepas tiga hari bertarung nyawa akibat dipatuk ular tedung selar, Abu Zarin Hussein, 33, yang merupakan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Temerloh, di sini menghembuskan nafas terakhir malam tadi.

Pengarah JBPM negeri, Datuk Abdul Wahab Mat Yassin berkata, jenazahnya  akan dibawa untuk dikebumikan di Pasir Puteh, Kelantan.

“Dukacita dimaklumkan bahawa pegawai bomba Abu Zarin dari Balai Temerloh yang dipatuk ular kembali ke rahmatullah pada pukul  12.54 malam tadi.

“Bersamalah kita mendoakan rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya di sini hari ini.

Difahamkan, Abu Zarin yang berasal dari Pasir Puteh dimasukkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh, selepas dipatuk ular buat kali ke sepuluh ketika cuba memindahkan reptilia berbisa tersebut Selasa lalu.

Allahyarham yang terkenal dengan kemahiran menjinak dan menangkap ular tidak sedarkan diri kemudian dipindahkan ke Hoshas di Temerloh untuk rawatan lanjut.

Abu Zarin sebelum ini dilaporkan telah dua kali tidak sedarkan diri termasuk pada Selasa lepas.

Kali pertama dia dilaporkan tidak sedarkan diri adalah ketika dipatuk ular sewaktu menjalankan tugas  Allahyarham Abu Zarin Hussin, dikatakan mula didedahkan dengan ilmu menangkap reptilia tersebut sejak berusia setahun.

Ibunya, Che Som Mohd. Saud, 55, berkata, Abu Zarin adalah seorang yang berani apabila sentiasa bersama ayahnya, Hussin Yusoff, 65, menangkap ular sejak dia berumur setahun untuk dijadikan ubat.

“Ketika kecil dia hanya mengikut ayahnya sahaja sebelum menyertai bomba 10 tahun lalu dan bersama pasukan menangkap ular. Dia mewarisi kebolehan ayahnya yang dahulunya adalah bekas komando.

“Dia memang seorang yang berani dan niatnya hanya mahu membantu masyarakat yang diancam ular tetapi sudah ajalnya mengikut ketentuan Allah mensabitkan kematiannya dipatuk ular,” katanya.

Jenazah Abu Zarin disembahyangkan selepas solat Jumaat di Masjid as-Sa’adah Mukim Permatang Gading sebelum dikebumikan pada pukul 3.15 petang ini.

Che Som berkata, kali terakhir dia bertemu pakar menangkap ular itu ialah pada 21 Januari lalu ketika pulang sehari untuk membawa anak angkatnya, Afifah Fathia Imran berusia tujuh bulan ke klinik bagi mengubati penyakit ekzema.

Katanya, Abu Zarin berkahwin dengan pasangan pilihannya, Aziena Fahana Mohd, 31, sejak lapan tahun lalu dan tidak dikurniakan anak dan memilih untuk membela anak angkat.

“Arwah terlalu sibuk hingga sukar untuk pulang ke kampung tetapi dia setiap hari akan berhubung menerusi aplikasi WhatsApp dengan ahli keluarga.

“Dia ada memaklumkan kepada keluarga untuk pulang ke kampung dalam masa terdekat dan mengambil cuti yang lama.

“Saya tidak menyangka hasratnya mahu berada lama di kampung sebenarnya petanda dia akan meninggalkan kami sekeluarga, buat selamanya katanya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *