Home » Langit Terbuka » Palestin tidak bergantung kepada bantuan Amerika Syarikat – Duta Palestin

Palestin tidak bergantung kepada bantuan Amerika Syarikat – Duta Palestin

KUALA LUMPUR  4 Jan. – Palestin tidak bergantung semata-mata kepada Amerika Syarikat (AS) bagi bantuan kewangan kerana banyak lagi negara yang menjadi penaja bantuan kepada negara itu.

Duta Besar Palestin ke Malaysia Datuk Dr Anwar Al Agha berkata Palestin menerima bantuan daripada Kesatuan Eropah (EU) dan negara-negara Asia Timur seperti Jepun dan China.

“Kami (Palestin) tidak bergantung kepada AS untuk dana dan jika mereka (Amerika Syarikat) memutuskan untuk menghentikan daripada menghantar bantuan kepada kami, maka ada negara lain yang bersedia untuk menaja bantuan kepada kami.

“Palestin mempunyai banyak negara sahabat dan kami berunding dengan mereka mengenai isu kami,” kata beliau kepada Bernama dalam temubual melalui telefon, di sini pada Rabu.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump awal hari ini berkata AS mungkin menyekat bantuan kewangan kepada Palestin jika mereka tidak bersedia untuk meneruskan rundingan damai.

Ketika ditanya berapakah bajet tahunan Palestin dan berapakah bajet itu yang meliputi bantuan asing, Anwar tidak memberi anggaran sambil berkata ia berubah bergantung kepada bidang-bidang yang memerlukan banyak bantuan.

“Bajet utama yang diperlukan ialah bagi pembinaan semula rumah dan bangunan, diikuti pembangunan ekonomi dan pendidikan,” kata beliau.

Ketika ditanya pendapatnya apabila menerima bantuan kewangan daripada negara-negara Asia Timur seperti Jepun dan China, Anwar berkata rakyat Palestin menghargai sepenuhnya bantuan daripada kedua-dua gergasi Asia itu.

“Kami amat gembira dan menghargai semua bantuan dan sokongan daripada Jepun dan China,” tambah beliau.

Jepun dan China telah menzahirkan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin dengan memberi bantuan bernilai berbilion-bilion dan muncul sebagai perantara baharu dalam proses perdamaian antara Israel dan Palestin dikenali sebagai “Menuju ke Arah penyelesaian terhadap konflik Israel-Palestin.”- BERNAMA

Artikel Berkaitan

Tingkat kualiti pendakwaan syarie

SHAH ALAM – Penubuhan Jabatan Pendakwaan Syarie Malaysia (JPSM) berupaya meningkatkan kualiti pendakwaan dan menyeragamkan proses penggubalan undang-undang syariah di negara ini.

Kunjungan hormat PPD Klang kepada YADIM Selangor

YADIM Selangor telah menerima lawatan kunjungan hormat daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Klang pada 30 Januari. Pertemuan ini bertujuan untuk membincangkan kerjasama

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *