Home » Langit Terbuka » PAS maafkan Nanyang Siang Pau, pesan jangan ulangi kesalahan

PAS maafkan Nanyang Siang Pau, pesan jangan ulangi kesalahan

BANGI, 17 April – PAS menerima permohonan maaf akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau dan pada masa sama berharap kejadian mengguris hati umat Islam di negara ini minggu lalu tidak berulang kembali.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan, hari ini mengajak umat Islam supaya memaafkan kesilapan yang telah dilakukan akhbar Nanyang.

Akhbar itu, pada 8 April lalu di ruangan kartunnya memaparkan seekor monyet bersongkok dilabel sebagai “speaker” dan seekor lagi memakai serban dinamakan “Hadi Awang” bertenggek di sebatang pokok “Akta 355”, merujuk rang undang-undang persendirian Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

“Lanjutan daripada apa yang berlaku hasil penerbitan karikatur berkenaan dan bantahan yang terjadi, pihak kami telah menerima satu surat permohonan maaf daripada pihak Ketua Pengarang Akhbar Nanyang Siang Pau bertarikh 12 April 2017 dan juga maklumat permohonan maaf secara terbuka yang dicetak di akhbar berkenaan.

“Sehubungan dengan itu, saya dengan ini mengajak umat Islam yang terguris dengan penerbitan karikatur berkenaan agar dapat bersama saya untuk memaafkan pihak akhbar berkenaan, dengan harapan agar ianya tidak berulang lagi di masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Hadi berkata, kesilapan penerbitan ini berlaku adalah akibat dari keterlanjuran dan kejahilan dalam mereka memahami batasan sensitiviti agama yang sangat halus garisnya.

“Saya melihat bahawa kerapkali batasan antara erti ‘kebebasan ekspresi’, ‘satira’ dan ‘sensitiviti masyarakat Islam’ yang sememangnya meletakkan agama sebagai satu urusan kehidupan yang terlalu mulia adalah kadangkala sukar dibezakan oleh kalangan tertentu dalam masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang agama, keturunan, bangsa, pendidikan, dan sebagainya.

“Semoga dengan tindakan memaafkan ini, kita sama-sama dapat terus komited untuk menyuburkan keharmonian dan sifat saling faham memahami dalam masyarakat di Malaysia khususnya,” katanya.- www.ismaweb.net

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *