Home » Langit Terbuka » Pasaran kerja masa depan utamakan aspek kemahiran teknologi

Pasaran kerja masa depan utamakan aspek kemahiran teknologi

Pengarah Michael Page Malaysia berkata, pekerjaan yang berkaitan aspek seperti keselamatan siber, data raya, perlindungan data, kecerdikan buatan serta robotik akan lebih mendapat permintaan tinggi di pasaran kerja masa depan. - Foto Shine.com

KUALA LUMPUR – Permintaan terhadap pasaran kerja di negara ini bagi dekad seterusnya akan menyaksikan peralihan daripada berintensifkan buruh tradisional kepada pekerjaan bergaji tinggi yang memerlukan kemahiran teknologi.

Pengarah Michael Page Malaysia, May Wah Chan berkata pekerjaan yang berkaitan aspek seperti keselamatan siber, data raya, perlindungan data, kecerdikan buatan serta robotik juga akan lebih mendapat permintaan tinggi di pasaran kerja.

Malangnya, kata beliau, kekurangan bakat yang ketara dalam bidang tersebut masih wujud berikutan sistem pendidikan tempatan yang tidak seiring dan memenuhi permintaan sedia ada dan menyebabkan pekerjaan itu disalurkan kepada pihak atau sumber luar.

“Masalah yang kita hadapi sekarang adalah ketidakpadanan bakat. Ada ramai siswazah yang menganggur namun pada masa sama kita turut berdepan masalah kekurangan bakat,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama.

Mengulas selanjutnya, May berkata halangan utama dihadapi siswazah tempatan yang menganggur adalah dari segi kekurangan pengetahuan dan pendedahan teknikal sewaktu di peringkat pengajian tinggi.

“Lulusan luar negara misalnya berpeluang lebih cerah untuk mendapat kerja kerana memiliki pengetahuan dan pengalaman yang diburu syarikat-syarikat, terutama syarikat multinasional,” katanya.

Setakat Februari 2019, kadar pengangguran di Malaysia adalah 3.3 peratus atau 516,400 orang manakala jumlah pekerjaan meningkat 2.1 peratus kepada 15.03 juta.

Menurut May, sejajar dengan perkembangan kadar pendigitalan masa kini, bakat yang dihasilkan di peringkat tempatan sebaliknya tidak bergerak seiringan dengan dengan permintaan pekerjaan.

“Banyak pekerjaan tradisional yang akan lenyap pada masa depan akibat pendigitalan ini, namun kalangan bakat muda ini sebaliknya tidak dilatih untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.

“Sehubungan itu, sistem pendidikan kita perlu ditambah baik bagi menampung permintaan masa depan demi mengelak kalangan siswazah tempatan itu berdepan masalah mendapat kerja di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia juga telah kehilangan banyak bakat berkemahiran tinggi ke negara-negara seperti Singapura yang menawarkan prospek lebih besar seperti kemajuan kerjaya serta habuan gaji yang lebih tinggi.

“Ironinya, alasan utama segelintir rakyat Malaysia kembali ke tanah air adalah disebabkan adanya ahli keluarga yang sudah berusia,” katanya.

Menurut May, siswazah muda yang mencari kerja juga perlu bertindak melengkapkan diri dengan semangat yang kuat serta kemahiran seperti komunikasi dan sikap yang baik.

“Kelayakan (akademik) itu hanyalah langkah pertama. Namun, keadaan sukar bagi mereka untuk mendapat kerja jika kelayakan itu tidak disertakan dengan kualiti yang bersesuaian,” katanya – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *