Home » Langit Terbuka » Pasport Malaysia ke-6 paling berkuasa di dunia

Pasport Malaysia ke-6 paling berkuasa di dunia

Pasport Malaysia merupakan pasport pertama di dunia yang dilengkapi dengan ciri keselamatan Biometrik.

PUTRAJAYA – Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) berada pada kedudukan keenam paling berkuasa di dunia berdasarkan Laporan Index Pasport 2018 yang dikeluarkan oleh firma perundingan kewangan global, Arton Capital yang berpangkalan di Montreal, Kanada.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, Index Pasport merupakan rujukan mengenai semua pasport yang diberikan penarafan berdasarkan jumlah negara yang boleh dikunjungi dan dilawati bagi rakyat sesebuah negara tanpa visa atau memerlukannya setibanya berada di negara berkenaan berdasarkan peraturan visa yang berkuatkuasa.

“Pengiktirafan ini adalah sesuatu yang dijangka memandangkan Pasport Malaysia memenuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam  (ICAO) dan boleh digunakan di 157 negara tanpa visa,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Mustafar berkata, pada tahun 1998, Pasport Malaysia merupakan pasport pertama di dunia yang dilengkapi dengan ciri keselamatan Biometrik menggunakan cip dan ciri-ciri pasport negara ditambahbaik dengan ciri keselamatan tambahan bagi menepati piawaian Document 9303 ICAO pada tahun 2013 dan lokasi cip dimasukkan ke dalam halaman Muka Surat Biodata pada tahun 2016.

“Terkini PMA versi baharu ditambahbaik dengan mempunyai 50 ciri keselamatan tambahan dan rekabentuk yang lebih unik dengan memaparkan mercu tanda negara Malaysia serta flora dan fauna tempatan dengan menerapkan falsafah 5 prinsip rukun negara,” ujarnya.

Jelas beliau, antara ciri-ciri keselamatan tambahan tersebut telah meningkatkan kebolehpercayaan rakyat dan pihak berkuasa luar sekaligus mengukuhkan penggunaan pasport Malaysia di luar negara.

“Selain daripada ciri-ciri keselamatan, permohonan pembaharuan PMA boleh dibuat secara dalam talian dan perkhidmatan pasport juga bertaraf dunia di mana pasport disiapkan dalam tempoh satu jam selepas bayaran, mendahului negara-negara maju di dunia,” jelasnya. – KOSMO

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *