Home » Langit Terbuka » Pelajar tahfiz perlu ada kelayakan akademik

Pelajar tahfiz perlu ada kelayakan akademik

Pelajar tahfiz perlu mempunyai kelayakan akademik selain keupayaan menghafaz 30 juzuk a[-Quran bagi melayakkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. (Gambar hiasan)

PUTRAJAYA 15 Feb – Pelajar-pelajar di pusat-pusat tahfiz perlu berusaha untuk mendapatkan pendidikan selain al-Quran sebagai kelayakan agar menjadi seorang yang profesional.

Pendidikan akademik perlu diterapkan untuk memastikan mereka yang dari aliran agama dapat melanjutkan pengajian di peringkat tinggi, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, keupayaan menghafal 30 juzuk al-Quran merupakan satu perkara yang mengagumkan namun, pelajar aliran tahfiz tidak boleh bergantung kepada ilmu itu sahaja.

“Jika mereka telah menghafal al-Quran apa lagi yang mereka boleh buat selepas itu?

“Dari pengalaman terdahulu, kita mendapati terdapat banyak masalah kerana pelajar aliran tahfiz ini tiada SPM (Sijil Tinggi Pelajaran), mereka juga tidak mempunyai STAM (Sijil Tinggi Agama), jadi mereka tidak dapat meneruskan pengajian mereka,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap menyempurnakan majlis penyampaian bantuan alat keselamatan kebakaran kepada 612 institusi tahfiz di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Pada sidang medianya Ahmad Zahid berkata, kerajaan telah mencadangkan agar pelajar tahfiz diberi peluang agar dapat mengembangkan bidang pengajian ke tahap yang lebih profesional agar menjadi asas dalam menjamin masa depan mereka.

Bagaimanapun katanya, kerajaan masih komited untuk meningkatkan bilangan pakar dalam kalangan tahfiz.

Tambahnya, kerajaan turut berhasrat untuk mewujudkan lebih ramai graduan tahfiz dengan kelayakan profesional yang boleh dijadikan model bukan sahaja di dalam malah turut ke luar negara.

Bagi tujuan itu beliau berkata, sebuah sekolah tahfiz baru dibina di kawasannya di Bagan Datuk Perak yang akan mengambil 1,000 graduan tahfiz pada setiap tahun dan mereka diwajibkan mengambil SPM dan STAM. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *