Home » Persuasif » Pelampau tiada tempat di Malaysia

Pelampau tiada tempat di Malaysia

Oleh Datuk Dr Ismail Ibrahim

NEGARA kita bakal menempa satu sejarah dalam mencanai pemikiran bangsa dengan berlangsungnya satu konvensyen, bertujuan memperkukuh institusi Raja di negara kita yang menjadi pasak dan tumang negara.

Konvensyen ini akan berlangsung ketika rakyat keseluruhannya haruslah menyedari akan sejarah negara dalam pembangunan dan peradabannya yang tinggi hasil kemantapan peranan Institusi Raja kita.

Sejarah negara kita sebenarnya banyak mengemukakan fakta dan peristiwa yang memungkinkan pihak Raja-Raja Melayu mengingatkan rakyat kepelbagaian kaum supaya menginsafi akan kedaulatan agama Islam di negara ini.

Raja Melaka, Parameswara, mengikut catatan sejarah, memeluk Islam sebagai lambang pengislaman kerajaan Melayu, dan permulaan sejarah negara di bawah naungan Raja Melayu ini tidak seharusnya dicabar dengan sewenang-wenangnya.

Prinsip perundangan dan pelaksanaan Islam, selaras dengan adat istiadat Melayu yang sudah diterima berdekad-dekad lamanya di negara kita, seharusnya diambil sebagai satu kepunyaan rakyat semua kaum, kerana pelaksanaan Islam secara adil itu tidak pernah menyentuh hak dan kepentingan serta kebebasan beragama rakyat bukan Islam.

Sejarah juga membuktikan bahawa Kerajaan Melaka pernah menerbitkan teks undang-undang yang bernama “Risalah Hukum Kanun” berasaskan undang-undang Islam mengenai perkahwinan, muamalat, keterangan, kehakiman dan jenayah. Risalah ini adalah dokumen penting mengenai pelaksanaan Islam di dalam masyarakat Tanah Melayu, untuk menjamin kestabilan dan keadilan pemerintahan bagi masyarakat berbilang kaum yang sedia wujud pada ketika itu.

Sejarah juga mencatatkan bahawa ada beberapa negeri Melayu yang menjadikan Islam sebagai dasar perlembagaan negeri berkenaan, seperti yang dilakukan di Johor pada 1895 dan Terengganu pada 1911.

Tetapi sayangnya fakta sejarah ini hanya tinggal dalam catatan sejarah, tanpa dijadikan asas maklumat dan pendidikan rakyat umum, sehingga seolah-olah Tanah Melayu ini menjadi satu bumi asing kita semua, sehinggakan orang Melayu sendiri juga dilihat sebagai ‘pendatang’ di negaranya sendiri.

Sejarah Tanah Melayu baru, yang diberikan nama ‘Malaya’ oleh penjajah, juga memperlihatkan pengiktirafan yang sejati mengenai status agama Islam, iaitu ketika parti Perikatan mengemukakan memorandum kepada Lord Reid, Pengerusi Suruhanjaya Draf Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (Perlembagaan Merdeka 1957) mencadangkan supaya agama Islam dijadikan agama negara Malaya, dan sebagai balasannya yang adil, maka prinsip ini tidak menyentuh hak warga negara bukan Islam untuk menganut agama mereka.

Cadangan inilah yang diterima dan dimaktubkan dalam perlembagaan negara kita. Kesediaan dan komitmen tiga kaum terbesar Malaya ketika menuntut kemerdekaan Tanah Melayu dari Kerajaan British, iaitu mengenai kedudukan agama Islam dan kebebasan bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka dengan aman dan harmoni, adalah satu persefahaman asas yang menjadi prinsip pemerintahan negara ini.

Hal inilah juga yang menjadi satu pendirian bersama yang dapat ditafsirkan sebagai kontrak sosial dalam beragama di negara ini, di samping kontrak sosial di dalam aspek-aspek yang lain lagi.

Kontrak sosial mengenai agama ini adalah persetujuan bersama di antara rakyat keseluruhannya mengenai kandungan persetujuan yang diterima untuk diperuntukkan di dalam perlembagaan kita.

Oleh itu amatlah malang sekali jika ada pihak yang cuba menafikan mengenai wujudnya kontrak sosial ini ketika negara kita mencapai kemerdekaan dulu, atau berusaha untuk tidak memahaminya sebagai satu wadah keharmonian bangsa di dalam negara kita pada saat ini.

Golongan inilah yang kelihatannya sedang mencuba untuk mencabar prinsip agama Islam di negara kita yang sudah pun menjadi amalan dan diterima baik oleh semua kaum ketika negara kita mencapai kemerdekaannya.

Institusi Raja Melayu adalah institusi yang mempertahankan Islam di semua negeri dalam Malaysia kerana Raja-Raja adalah ketua agama Islam.

Istilah ‘Islam’ ini pula tidaklah seharusnya dipertikaikan sebagai amalan ritual semata-mata, iaitu satu konsep yang cuba disempitkan pentafsirannya seperti yang sedang dilakukan oleh sesetengah golongan di dalam masyarakat kita.

Adalah amat diharapkan bahawa proses dan usaha mempertingkatkan pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia, dan usaha mengemaskinikan latihan dan pengeluaran tenaga manusia yang berkemampuan di dalam pentadbiran agama akan dapat dilipat gandakan lagi untuk melahirkan institusi pentadbiran, kehakiman, pendidikan dan semua institusi agama yang lebih berwibawa dan cekap, sesuai dengan perkembangan negara yang pesat membangun.

Kita dalam keadaan sekarang tidak memerlukan golongan pelampau, termasuk golongan pelampau di dalam agama, iaitu kumpulan pelampau agama dari semua agama yang diamalkan di Malaysia. Hal ini disebutkan kerana di dalam apa saja agama yang wujud di dalam dunia ini akan ada golongan pelampau dan fanatik melulu di dalam agama itu.

Golongan agama pelampau dan taasub inilah yang seharusnya kita lenyapkan daripada berleluasa di dalam negara kita yang selama ini berjaya menghayati kehidupan aman dan tenteram, penuh toleransi dan harmoni.

Berdasarkan fakta dan hakikat yang disebutkan di atas, maka saya merasakan bahawa konvensyen pada Sabtu dan Ahad ini bertemakan “Memperkukuh Pasak Negara Ke Arah Wasiat Yang Lebih Tersurat” amatlah tepat dengan masa dan ketikanya dalam usaha memperbaharui semangat dan kesedaran rakyat negara seluruhnya mengenai kepentingan kedaulatan institusi di raja dalam negara yang berperlembagaan ini.

Saya percaya bahawa Titah Diraja yang akan disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah akan lahir sebagai titah yang bernas, penuh makna dan falsafahnya akan merentasi minda dan roh rakyat keseluruhannya.

Berdoalah kita semua semoga konvensyen ini akan dapat menempah satu sejarah baru dalam merealisasikan temanya seperti yang dinyatakan di atas. – www.bharian.com.my

 

Datuk Dr Ismail Ibrahim

Bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *