Home » Langit Terbuka » Pemimpin kanan Abu Sayyaf dibunuh

Pemimpin kanan Abu Sayyaf dibunuh

MANILA 12 April – Seorang pemimpin kanan kumpulan Abu Sayyaf yang mendalangi kegiatan penculikan dan pembunuhan warga asing di Filipina, merupakan antara anggota kumpulan militan itu yang dibunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan kerajaan, semalam.
Mayat Muamar Askali atau lebih dikenali sebagai Abu Rami adalah antara seorang daripada enam anggota militan yang dikenal pasti oleh pasukan keselamatan selepas satu pertempuran di Pulau Bohol itu.
Ketua Turus Tentera Filipina, Jeneral Eduardo Ano menyifatkan Abu Rami sebagai pemimpin pelapis Abu Sayyaf yang bertanggungjawab melakukan kekejaman menerusi kegiatan peras ugut, lanun dan penculikan untuk tujuan mendapatkan wang tebusan khasnya di selatan negara ini.
“Ini merupakan satu pencapaian besar dan tamparan hebat kepada Abu Sayyaf,” kata Ano dalam satu sidang media, hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat risikan, Abu Rami mengarahkan pembunuhan dua warga Kanada pada tahun 2016 termasuk seorang tebusan warga Jerman, bulan Februari lalu selepas kumpulan itu gagal mendapat wang tebusan seperti yang diminta.
Abu Rami turut didakwa merancang penculikan sepasang kekasih warga Jerman di perairan Sabah pada bulan April 2014 dengan ke­dua-dua tebusan dibebaskan enam bulan kemudian selepas menerima wang tebusan berjumlah kira-kira AS$5 juta (RM22.1 juta).
“Ketika pertempuran semalam, Abu Rami dan kumpulannya dalam perjalanan ke Bohol bagi menculik pelancong asing dan tempatan tetapi rancangan mereka dipatahkan selepas penduduk melaporkan kedudukan mereka kepada pihak berkuasa,” katanya.
Terdahulu, pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dan Austra­lia memberi amaran kepada rakyat mereka selepas terdapat maklumat kumpulan pengganas mungkin melakukan penculikan di kawasan tersebut. – DPA-www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *