Home » Langit Terbuka » Pemindahan kubur berusia 200 tahun ikut hukum syarak

Pemindahan kubur berusia 200 tahun ikut hukum syarak

Timbalan Yang Dipertua Maik berkata, kira-kira 200 kubur lama yang berusia lebih 200 tahun tersebut dalam proses dipindahkan ke Tanah Perkuburan Islam mukim Tanjung Chat bermula 1 Oktober lalu - Foto Utusan Malaysia

KOTA BHARU – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) menjelaskan proses pemindahan atau penempatan semula kubur lama seluas 0.5 hektar di atas Lot 106 dan Lot 21, Jalan Sultanah Zainab di sini dijalankan mengikut hukum syarak.

Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr. Nik Azlan Abd. Hadi berkata, kira-kira 200 kubur lama yang berusia lebih 200 tahun tersebut dalam proses dipindahkan ke Tanah Perkuburan Islam mukim Tanjung Chat bermula 1 Oktober lalu.

Beliau bagaimanapun berkata, kerja-kerja pemindahan tersebut terpaksa dihentikan pada 1 November lalu sehingga semalam disebabkan hujan lebat pada setiap hari.

“Operasi berjalan lancar dan dihentikan buat sementara waktu disebabkan musim hujan. Sehingga kini sebanyak 552 cebisan tanah hitam yang disifatkan sebagai mayat atau jenazah telah dipindahkan ke Tanah Perkuburan Islam Mukim Tanjung Chat.

“Batu Nisan yang dikatakan bertaburan itu tidak sempat dikumpulkan disebabkan hujan lebat sepanjang hari bermula 1 November sehingga 8 Disember 2018,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai video batu nisan yang berselerak di kawasan kubur lama tersebut sehingga tular di laman sosial sejak petang semalam.

Nik Azlan berkata, MAIK telah menerima kertas permohonan daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) berkaitan cadangan pembangunan semula di Seksyen 10, Jalan Sultanah Zainab serta pemindahan kubur itu pada 1 Februari 2006.

“Maik menjalankan siasatan ke atas tanah tersebut dan mendapati tanah perkuburan itu tidak digunakan untuk sekian lama.

“Cadangan pembangunan tanah perkuburan itu telah dirujuk kepada Jabatan Mufti Kelantan pada 26 November 2006, antara maklumbalas Mufti Kelantan harus ‘istibdal’ dengan syarat tukar ganti itu hendaklah terlebih baik dari asal,” katanya.

Katanya, rentetan daripada itu pihak berkuasa tempatan telah mengeluarkan warta kerajaan yang meminta sesiap yang berhajat untuk mengemukakan apa-apa bantahan berkaitan pembatalan warta tanah kubur ini dan pada 23 Oktober 2008, Jabatan Tanah dan Galian Kelantan memaklumkan tiada sebarang bantahan diterima.

“Seterusnya tindakan telah diambil untuk membatalkan warta tanah perkuburan ini dan bayaran ‘istibdal’ RM2.2 juta diberikan kepada MAIK untuk menggantikan tanah kubur lain.

“Tanah-tanah yang telah diganti ini berada bersebelahan tanah kubur sedia yang mana tanah kubur sedia hampir penuh. Dalam pada itu, saya meminta kepada waris yang ingin memindahkan kubur ke tempat lain supaya berhubung dengan Maik dan kita akan memberikan bantuan yang sewajarnya,” katanya. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *