Pengarahnya, Hakimah Mohd. Yusoff berkata, penarikan itu berikutan berlaku pelanggaran terhadap Manual Prosedur Pensijilan Malaysia yang melibatkan kesalahan-kesalahan kebersihan dan Amalan Pengeluaran Baik (GMP) yang serius.

“Bahagian Hab Halal telah memanggil syarikat terlibat dan mereka telah berjanji akan melakukan tindakan segera berhubung kesalahan yang dilakukan sehingga mengakibatkan sijil halal itu ditarik balik.

“Penarikan ini berkuat kuasa 7 Mei lalu, namun ia tidaklah menghalang syarikat berkenaan untuk memohon semula sijil halal setelah tindakan pembetulan dibuat dan mematuhi piawaian persijilan halal Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau menjelaskan mengenai penarikan balik sijil halal Secret Recipe selepas isu tersebut tersebar luas di laman-laman sosial.

Menurut Hakimah, Jakim akan membuat penilaian semula terhadap permohonan tersebut berdasarkan pemeriksaan dan pematuhan ke atas Malaysia Standard 1500:2009 dan Manual Prosedur Persijilan Halal Malaysia 2014.

Tegas beliau, Jakim memandang serius perkara tersebut dan mengi­ngatkan setiap penerima sijil halal agar sentiasa mematuhi piawaian persijilan halal Malaysia dari semasa ke semasa kerana Jakim tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan pelanggaran.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat andaian dengan menyebarkan isu ini secara salah, sebaliknya berhubung terus dengan Bahagian Hab Halal Jakim di talian 03-88895000/5001 dan 03-88925048 atau melayari laman web www.halal.gov.my.