Home » Langit Terbuka » Pengukuhan tata kelola institusi prasyarat wujudkan negara MADANI

Pengukuhan tata kelola institusi prasyarat wujudkan negara MADANI

Anwar face display at MADANI bill bord. —LOW LAY PHON/The Star

KALIMAH madani bermaksud maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan jelas merujuk kepada keadaan serta sifat insan atau mana-mana kelompok insan itu sendiri. Apabila membincangkan masyarakat atau negara madani, maka ia tidak dapat lari daripada makna asas ini.

Konsep madani turut dikupas ilmuwan agung seperti Al-Farabi, Ibnu Khaldun dan Ibnu Miskawayh. Al-Farabi mengertikan madani sama makna dengan ‘ketamadunan’ yang menatijahkan perbahasan mengenai ‘al-Madinah al-Fadhilah’ (negara ideal atau utama).

Ibnu Khaldun pula mengembangkan konsep ‘manusia madani’ dan kaitannya dengan masyarakat mencapai tahap ‘umran’, iaitu kemakmuran dan pencapaian tinggi dari segenap elemen ketamadunan, manakala Ibnu Miskawayh pula menekankan pencapaian kemakmuran hidup oleh masyarakat bertamadun tinggi dan berakhlak mulia.

Kita juga wajar melihat konsep yang diulas ulama dan ahli fikir Islam terkemuka, Syah Waliyullah ad-Dehlawi yang turut menyentuh kemajuan peradaban atau masyarakat madani. Antara gagasan pemikiran beliau yang masyhur ialah konsep ‘al-Irtifaqat’, iaitu istilah digunakan untuk menunjukkan tahap kemajuan peradaban dalam sesebuah masyarakat.

Irtifaqat ialah kata jamak perkataan ‘irtifaq’, iaitu perkataan Arab dengan akar r-f-q, bermaksud lembut, selesa, baik, menolong dan memberi manfaat. Ia merujuk kepada mengamalkan cara mudah, peranti membantu, kaedah berfaedah, teknologi berguna dan adab baik dalam kehidupan seseorang.

Syah Waliyullah menggunakannya dalam erti kata khas menunjuk kepada tahap pembangunan sosioekonomi berbeza bagi sesebuah masyarakat.

Menurut beliau, setidaknya ada empat tahap irtifaqat bagi perkembangan sesebuah masyarakat madani itu. Pertama, kehidupan masyarakat primitif yang hanya berorientasi untuk memenuhi keperluan dasar.

Kedua, manusia mula meningkat pemikirannya dan mula memikirkan bagaimana mendapatkan kehidupan lebih munasabah; ketiga, taraf kehidupan kota dan keempat, bagaimana manusia mencapai puncak peradaban.

Irtifaq ketiga inilah merujuk kepada konsep sebuah masyarakat madani yang apabila dilanjutkan ke tahap selanjutnya memacu terbentuknya sebuah peradaban manusia pada peringkat global.

Bagi Syah Walyullah, yang dimaksudkan ‘kota’ bagi irtifaq ketiga ini bukanlah merujuk sekadar tembok, pasar atau bangunan. Sebaliknya kota itu adalah satu bentuk hubungan antara kumpulan manusia berbeza, berdasarkan urusan dan kerjasama sesama mereka.

Keperluan untuk memelihara dan menata hubungan ini memerlukan wujudnya pentadbiran berkesan serta perlu ditatakelola dengan baik. Definisi berkesan dan baik di sini bermaksud dengan apa dikatakan baik oleh wahyu dan syariah.

Walaupun Syah Waliyullah membincangkan empat irtifaqat ini berlandaskan perkembangan sosioekonomi sesebuah masyarakat, semua irtifaqat ini dijalin dengan konsep ‘demi mencapai keredaan Allah SWT’ yang diistilahkan oleh beliau dengan ‘iqtirabat’, iaitu cara dan peringkat penyucian serta pembangunan rohaniah diri.

Justeru, masyarakat madani bagi Syah Waliyullah ialah hasil proses secara alami peningkatan empat tahap irtifaqat sesebuah masyarakat bagi terhasilnya iqtirabat ini.

Tumpu tata kelola insani

Syah Waliyullah menyenaraikan lima institusi perlu ada bagi mengelola pentadbiran masyarakat di tahap irtifaq ketiga atau masyarakat madani ini. Institusi itu ialah badan kehakiman, eksekutif, polis dan tentera, kebajikan dan kerja awam serta hal ehwal agama dan moral.

Ia bertujuan supaya kemajuan negara kota atau masyarakat madani ini dapat diteruskan dan pemantauan mampu dikenakan ke atas isu rasuah, penyalahgunaan, kekacauan dan kerosakan.

Sudah tentu dalam realiti kehidupan abad ke-21 ini, tahap kehidupan kota atau irtifaq ketiga ini tidak terhad kepada lima institusi disebutkan Syah Waliyullah itu. Lima institusi teras itu adalah sesuai dengan corak pentadbiran Kerajaan Mughal ketika itu.

Bagaimanapun, prinsip bahawa bagi benar-benar menjelmakan sesuatu masyarakat itu menepati kehidupan sebagai sebuah masyarakat madani, semua institusi dalam pentadbiran sesebuah ‘kota’ perlu ditatakelolakan dengan baik. Justeru, prinsip tata kelola baik inilah yang menjadi prasyarat kepada prakarsa mewujudkan masyarakat madani walau pada zaman mana ia sekalipun.

Sebenarnya, Syah Waliyullah menerangkan dengan mendalam dan terperinci mengenai tata kelola perlu dilazimkan bagi menata institusi yang ada di dalam sesebuah negara kota. Sungguhpun begitu, beliau juga memberikan penekanan memperoleh tahap iqtirabat menerusi semua irtifaqat ini.

Penekanan ini sesungguhnya menzahirkan peri pentingnya tata kelola insani (human governance) turut dibahas dan diberikan penekanan. Selepas itu, baharulah kemadanian sesebuah masyarakat itu dapat diperkatakan.

Berlandaskan konsep irtifaqat dan iqtirabat oleh Syah Waliyullah ini, dapat disimpulkan masyarakat madani itu amat menekankan berkenaan tata kelola berkesan, pengukuhan integriti dan kekangan bersistematik terhadap korupsi.

Di sini, timbul pula keperluan untuk dibahas dengan jelas mengenai pengukuhan dan pemantapan ekosistem tata kelola baik sebuah negara.

Oleh itu, dalam usaha menjadikan Malaysia menjadi negara madani, pengukuhan ekosistem tata kelola baik dan berkesan adalah sangat diperlukan. Ekosistem merujuk kepada beberapa sistem saling berkaitan dan saling mempengaruhi lalu membentuk satu sistem lebih besar. Sejarah dunia menunjukkan bahawa walaupun bagi sebuah empayar besar berusia ratusan tahun sekalipun, apabila pentadbirannya tidak lagi dilaksanakan berasaskan tata kelola baik, pengakhirannya pasti keruntuhan dan kebinasaan.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan Governans Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *