Pengurusan hutang dalam Islam

0
4286
Islam tidak mahu ada mana-mana pihak yang tertindas dalam muamalah yang melibatkan hutang, justeru itu konsep rahmah dan kasih sayang perlu ada dalam menguruskan hutang. - Foto Kapital.my

Islam merupakan agama yang syumul. Islam mengatur dan memberi panduan kepada manusia dalam setiap tindakan. Islam bukan hanya berkisar tentang solat, puasa dan haji yang merupakan ibadah khusus manusia terhadap penciptanya. Di sana terdapat juga perkara-perkara yang berkait rapat tentang hubungan manusia sesama manusia seperti jual beli, sewaan, hutang dan gadaian. Perkara ini digelar muamalat dalam Islam.

Antara salah satu cabang muamalah tersebut ialah hutang. Dayn (hutang) dari segi bahasa ialah sebarang liabiliti (tanggungan) masa hadapan yang dipertanggungkan ke atas seseorang sama ada dalam betul wang atau sebagainya. Dari segi istilah umum pula hutang ialah hak /tanggungjawab yang wajib ditunaikan oleh seseorang yang menanggung beban di masa hadapan. Sebagai contoh A meminjamkan RM 100 kepada B. Maka B perlu membayar semula RM 100 kepada A dalam tempuh masa tertentu. Jika kita lihat dalam konteks masyarakat hari ini, aktiviti berhutang ini sudah menjadi kebiasaan terutamanya dalam memenuhi keperluan asas seperti rumah, kenderaan malah ada juga yang berhutang untuk mendirikan rumah tangga.

Persoalannya sejauh mana kita mengikuti garis panduan yang ditetapkan oleh agama Islam dalam pengurusan hutang?

- advertisement -

Hukum asal hutang ialah harus berdasarkan firman Allah yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermuamalah tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menulisnya” (Surah al-Baqarah ayat 282). Ayat ini menjelaskan keharusan muamalah dengan cara berhutang kerana perkara itu termasuk dalam taawun @ bertolong-tolong.

Dalam suatu hadith nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud “Sesiapa meringankan sebuah kesusahan (kesedihan) seorang mukmin di dunia, Allah akan meringankan kesusahannya pada hari kiamat. Sesiapa memudahkan urusan seseorang yang dalam keadaan sulit, Allah akan memberinya kemudahan di dunia dan akhirat Sesiapa menutup aib seseorang, Allah pun akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan sentiasa menolong hamba-Nya, selagi hamba tersebut menolong saudaranya,” (Riwayat Muslim.)

Namun terdapat beberapa garis panduan yang diletakkan oleh agama supaya pihak yang memberi hutang dan menerima hutang tidak teraniaya. Perkara ini penting kerana Islam tidak mahu ada mana-mana pihak yang tertindas dalam muamalah yang melibatkan hutang ini. Sebab itu konsep rahmah dan kasih sayang perlu ada dalam menguruskan hutang.

Dalam surah Al-Baqarah Allah menjelaskan perkara mengenai hutang dengan panjang lebar sehingga satu muka surat menunjukkan betapa perkara ini penting dan perlu diambil perhatian oleh manusia. Firman Allah yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermu´amalah tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menuliskannya.

Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menuliskannya dengan benar. Dan janganlah penulis enggan menuliskannya sebagaimana Allah mengajarkannya, meka hendaklah ia menulis, dan hendaklah orang yang berhutang itu mengimlakkan (apa yang akan ditulis itu), dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangi sedikitpun daripada hutangnya. Jika yang berhutang itu orang yang lemah akalnya atau lemah (keadaannya) atau dia sendiri tidak mampu mengimlakkan, maka hendaklah walinya mengimlakkan dengan jujur. Dan persaksikanlah dengan dua orang saksi dari orang-orang lelaki (di antaramu). Jika tak ada dua oang lelaki, maka (boleh) seorang lelaki dan dua orang perempuan dari saksi-saksi yang kamu ridhai, supaya jika seorang lupa maka yang seorang mengingatkannya.

Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil; dan janganlah kamu jemu menulis hutang itu, baik kecil maupun besar sampai batas waktu membayarnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih menguatkan persaksian dan lebih dekat kepada tidak (menimbulkan) keraguanmu. (Tulislah mu´amalahmu itu), kecuali jika mu´amalah itu perdagangan tunai yang kamu jalankan di antara kamu, maka tidak ada dosa bagi kamu, (jika) kamu tidak menulisnya. Dan persaksikanlah apabila kamu berjual beli; dan janganlah penulis dan saksi saling sulit menyulitkan. Jika kamu lakukan (yang demikian), maka sesungguhnya hal itu adalah suatu kefasikan pada dirimu. Dan bertakwalah kepada Allah; Allah mengajarmu; dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”.

Terdapat beberapa garis panduan yang perlu kita ketahui apabila melibatkan hutang. Pertama, setiap hutang perlu ditulis. Dalam ayat di atas Allah mengingatkan kita untuk menulis hutang.

Perkara ini nampak mudah namun ramai dalam kalangan kita yang mengambil mudah sehingga tidak menulis hutang tersebut. Menulis hutang merupakan suatu rekod supaya ada bukti jumlah yang dipinjam dan memudahkan urusan pembayaran. Cuba bayangkan jika kita tidak menulis hutang mungkin akan ada pihak yang akan memanipulasikan jumlah hutang tersebut dan ada juga yang tidak mahu membayar kerana tidak ada bukti hutang itu berlaku.

Islam ingin menjaga hak orang yang mmberi hutang supaya tidak teraniaya dengan cara menyuruh untuk mencatat hutang tersebut. Dalam ayat di atas juga menerangkan kepada kita sama ada hutang itu sikit atau banyak perlulah ditulis untuk rujukan masa akan datang.

Kedua perlunya saksi dalam penulisan hutang itu. Hal ini penting kerana, jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini dikemudian hari saksi-saksi ini boleh dipanggil untuk memberi keterangan. Islam juga memberi panduan saksi tersebut haruslah dua orang lelaki yang adil. Sekiranya tidak mampu cukup sekadar seorang lelaki dan dua orang perempuan yang adil. Begitulah indahnya Islam mengatur kehidupan manusia supaya tersusun dan sistematik.

Ketiga, akad dalam hutang ialah akad tabarru’. Tabarru’ ialah akad atau transaksi yang mengandung perjanjian dengan tujuan tolong-menolong tanpa adanya syarat imbalan apa pun dari pihak lain. Dalam hal ini perkara yang tidak boleh dilakukan ialah riba atau meletakkan jumlah bayaran melebihi jumlah pinjaman. Firman Allah dalam Al-quran yang bermaksud “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan riba dengan berlipat ganda dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu mendapat keberuntungan. Peliharalah dirimu dari api neraka, yang disediakan untuk orang-orang yang kafir.” ( Ali Imran 3:130)

Pengharaman riba ini secara tidak langsung bertujuan untuk melindungi orang yang berhutang daripada ditindas. Jika riba dibenarkan sudah pasti individu yang memberi hutang akan sesuka hati meletakkan jumlah bayaran semula yang tinggi dan akhirnya memberi kesukaran kepada orang yang berhutang.

Akhir sekali, wajib kepada orang yang berhutang untuk membayar hutang tersebut. Apabila seseorang itu berhutang maka terbelenggulah lehernya dengan satu ikatan. Ikatan tersebut akan terlepas apabila hutang itu ditunaikan. Jika hutang itu tidak dijelaskan sewaktu di dunia maka hutang itu akan dibawa ke hari pengadilan di akhirat kelak. Dalam suatu hadith nabi Muhammad SAW menjelaskan tentang perlunya menjelaskan hutang sewaktu di dunia jika tidak roh seseorang itu akan tergantung diantara langit dan bumi sehinggalah hutang itu dijelaskan. “Jiwa orang mukmin itu tergantung dengan hutangnya (iaitu dia belum dihukum sama ada kebaikannya atau kejahatannya) sehinggalah dia menjelaskan hutangnya” (Riwayat At-Tirmidzi)

Kesemua garis panduan ini sebagai asas kita dalam berhutang. Jika asas ini dapat kita amalkan sudah pasti kedua-dua pihak berasa senang hati dalam pengurusan hutang. Ingatlah memberi pinjam kepada orang lain merupakan perkara yang mulia. Mungkin hari ini nasib kita senang dan boleh memberi pinjaman kepada orang. Mungkin juga suatu hari nanti kita pula yang memerlukan pinjaman daripada orang. Kehidupan kita yang diibaratkan seperti roda ini perlulah diurus dengan baik.

Semoga kita ikhlas dalam memberi pinjaman dan ikhlas juga dalam menyelesaikan pinjaman kembali.

Mohamad Zaiful Faizal bin Mohamad Hasan                                                              Pelatih Daie Muda YADIM

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here