Secara prinsipnya, fitrah kewajipan memberikan nafkah merupakan tanggungjawab suami sehingga wajib bekerja dengan baik melalui usaha yang halal dan wanita sebagai kaum isteri bertanggungjawab mengelola dan mengurus aset keluarga yang diamanahkan oleh suami dengan cara yang baik.
Allah berfirman, maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin (pengurus) bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah berusaha (mencari) dan menafkahkan sebahagian dari harta (pencarian) mereka (kepada kaum wanita)…” Surah al-Nisa’ : 34.
Dengan demikian, kedudukan kaum lelaki sebagai ketua dalam rumah tangga adalah selari dengan ketetapan sebagai akibat (consequences) daripada peranannya selaku pemimpin yang memberi nafkah, dan tanggungjawab mengurus selia keluarganya secara lazim.
Oleh kerana itu Nabi secara profesional telah menjelaskan kedudukan masing-masing bagi suami isteri mengikut fungsi yang berbeza, seperti mana disebut dalam sabdanya: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan diminta bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Suami adalah pemimpin bagi keluarganya dan bertanggungjawab atas anggota keluarga yang dipimpinnya. Isteri adalah pemimpin (juga) bagi rumah tangga suaminya dan akan diminta bertanggungjawab atas aset rumah tangga yang diuruskannya..”‘ Hadis riwayat Imam Bukhari.
Ketika Rasulullah menikahkan puterinya, Fatimah dengan Saidina Ali RA beliau berwasiat kepada menantunya: “Engkau berkewajiban bekerja dan berusaha sedangkan dia (Fatimah) berkewajiban mengurus (urusan dalam) rumah tangga.” Hadis riwayat Muttafaq ‘Alaih.
Jadi, dalam hal ini terjadi persepakatan dan pembahagian tugas (Sharing) antara suami-isteri, termasuk dalam urusan kewangan keluarga, adalah dalam bentuk tanggungjawab suami untuk mencari nafkah yang halal dan tanggungjawab isteri untuk mengurus, mengelola, merawat dan mengurus kewangan rumah tanga. Meskipun demikian, bukan bererti suami tidak boleh memberikan bantuan dalam pengelolaan aset dan kewangan rumah tangganya bila isteri kurang mampu atau memerlukan bantuan.
Dan juga sebaliknya tidak ada larangan khusus dalam syariah bagi isteri untuk membantu suami, lebih-lebih lagi ketika suami berkeadaan kurang mampu dalam memenuhi keperluan keluarga dengan cara yang halal dan cara yang baik serta tidak membahayakan keharmonian dan kebahagiaan rumah tangga selama suami mengizinkan, bahkan hal itu akan dinilai sebagai amalan kebajikan untuk si isteri.
Bukankah Saidatina Khadijah RA, juga turut berkorban dalam membantu Nabi SAW. Demikian dengan Saidatina Fatimah juga turut membantu mengangkut air dari jarak yang agak jauh untuk keperluan keluarganya. Semua khidmat kaum wanita (isteri) merupakan sebagai bentuk ukhuwah (sebagai menandakan kasih sayangnya kepada suami dan keluarganya) dan sebagai melaksanakan konsep “ta’awwun” dan tolong menolong dalam hal kebajikan.
Firman Allah, maksudnya; “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran (kemungkaran). Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya.” Surah al-Maidah : 2.
Prinsip keadilan Islam menjamin bagi kaum wanita hak untuk mencari kurniaan Allah (rezeki) sesuai dengan kudrat tabiatnya serta ketentuan (dalam batas-batas) syariat, dengan niat untuk mengisi ruang untuk diri dan keluarga dengan melakukan ibadah kepada Allah secara ikhlas. Meskpun demikian, isteri harus memiliki kevakinan bahawa tugas utama dalam keluarganya ad alah mengatur urusan rumah tanea den mengelola kewangan keluarga bukan mencari nafkah. Cuma apa yang dilakukannya (mencari nafkah) untuk suami dan keluarga (melakukan pekerjaan) yang di luar tanggungjawabnya adalah semata-mata, sebagai sumbangan ikhlasnya untuk mencari keredaan Allah dan juga keredaan suami.
Para ahli tafsir (Mufassirin) menyimpulkan dari surah an-Nisa’ : 32: “Bagi para lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan…” yang pada prinsip asas hak dan kebebasan kaum wanita untuk berusaha mencari rezeki.
Sejarah Islam pada masa Nabi telah terbukti adanya “perkhidmatan” kaum wanita dalam peperangan, seperti membantu melakukan kerja-kerja pengubatan (rawatan para tentera yang cedera) dan pengurusan logistik (keperluan bekalan makan dan lain-lain). Di samping itu para wanita juga terlibat dalam aktiviti perniagaan dan membantu suami dalam pertanian. Walaupun, pada asasnya kerja-kerja tersebut bukan tanggungjawab asas, tetapi Islam tidak mencegah penglibatan kaum wanita dalam bidang-bidang yang mereka mampu sumbangkan atas dasar “ta’awwun” dalam perkara kebajikan, sama ada untuk masyarakat dan negara atau khusus untuk keluarga mereka sendiri.
– Celik Muamalah oleh Abdul Aziz Ismail



KOMEN