Home » Langit Terbuka » Peniaga didenda RM3,500 miliki 108 naskhah al-Quran tiada kelulusan KDN

Peniaga didenda RM3,500 miliki 108 naskhah al-Quran tiada kelulusan KDN

Muhammad Imran Sahimi, 36, selaku Orang Kena Saman (OKS), membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri. – Bernama

KOTA BHARU: Seorang peniaga didenda RM3,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 108 naskhah al-Quran yang tidak mempunyai kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN), dua tahun lalu.

Muhammad Imran Sahimi, 36, selaku Orang Kena Saman (OKS), membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri.

Lelaki itu didakwa memiliki 20 naskah al-Quran An-Nur (saiz B3), 29 naskah al-Quran An Nur (saiz A4), tujuh naskah al-Quran An Nur (saiz A5), 44 naskah al-Quran Al-Mumayyaz (saiz A5) dan lapan naskah al-Quran Al-Mumayyaz (saiz A4), yang tiada perakuan kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran KDN.

Kesalahan tersebut dilakukan di sebuah premis beralamat Lot 579-E, Jalan Tengku Petra Semarak di sini, lebih kurang pukul 10.30 pagi pada 15 Okt 2022.

Pertuduhan mengikut Seksyen 7(2) Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh yang tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KDN Kelantan Mastini Zakaria, manakala OKS tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Mastini memohon OKS dikenakan hukuman setimpal, kerana banyak pengeluaran al-Quran tiada kelulusan Lembaga Pengawalan Dan Pelesenan Pencetakan al-Quran KDN, berlaku sejak kebelakangan ini.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM3,500, selain menetapkan penjara selama lima bulan sekiranya gagal membayar jumlah yang ditetapkan.

OKS membayar denda berkenaan. — Alhijrah Online

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *