Home » Persuasif » Pentingnya seorang sahabat

Pentingnya seorang sahabat

sumber

Semua orang ada kawan. Dalam zaman sekarang, kawan bukan sahaja yang bertemu secara bersemuka tetapi ada juga istilah kawan online, iaitu kawan-kawan yang dikenali di atas talian sahaja. Berjumpa pun tidak pernah tetapi apabila berbual di talian, sembangnya rancak seolah-olah sudah lama kenal. Pernah juga dengar ada orang berkata, saya tidak ada kawan. Betulkah? Bolehkah seseorang menjalani kehidupan tanpa kawan-kawan di sisi?

Kawan…radar komunikasinya mungkin hanya berputar tentang perkara-perkara yang mudah dan menyenangkan. Bicara soal aktiviti seharian, hobi di masa senggang, diskusi tentang sesuatu produk di pasaran dan sebagainya. Kalau sahabat bagaimana pula? Sudah tentunya topik perbualannya lebih serius, matang dan beranalisis. Orang kata sahabat adalah orang yang sanggup bersama sewaktu susah dan senang. Adakala sahabat ini datang dari kalangan ahli keluarga sendiri ataupun yang mempunyai pertalian darah dan ada juga yang langsung tidak mempunyai ikatan kekeluargaan tetapi perhatiannya melebihi saudara sendiri.

Paling beruntung adalah memiliki sahabat sejati iaitu yang akan sentiasa membantu walau kita berada dalam situasi yang bagaimana sekali pun. Sahabat sejati inilah yang sukar dicari. Sahabat sejati adalah individu yang mampu memahami diri kita sama ada ketika tenang mahupun beremosi, sabar dengan kerenah kita dan yang paling penting adalah bersahabat dengan kita dengan perasaan yang telus.

Biasanya, alam persekolahanlah yang membawa ikatan persahabatan. Cuma sama ada ia akan berakhir apabila tamat tempoh persekolahan atau berterusan hingga ke alam dewasa. Saling memaklumkan sudah mendirikan rumahtangga, sudah ada anak berapa orang, saling bertemu ketika perayaan dan berhubung melalui telefon atau apa sahaja medium perhubungan yang serba canggih pada masa kini; facebook, instagram mahupun whatsapp.

Kecanggihan teknologi masa kini telah memperkenalkan grup di dalam whatsapp. Tidak kiralah grup rakan sepejabat, kawasan perumahan mahupun alumni kolej atau fakulti. Tidak dapat dinafikan medium inilah yang paling popular dan berkesan untuk menyampaikan maklumat. Malah, kawan-kawan yang sudah lama hilang dapat dikesan dan dimasukkan sekali di dalam grup tersebut.

Pentingkah mempunyai sahabat? Jawapannya sudah tentu, ya. Dunia perhubungan itu luas. Dunia kita bukan hanya setakat dengan ahli keluarga walapun benar ada orang menganggap isteri atau  suami, ibu atau bapa sebagai sahabat sejati mereka, tempat meluahkan segala rasa. Namun, jangan lupa sebaik-baik tempat mengadu adalah Allah SWT.

Kenapa kita perlukan sahabat? Sahabatlah yang akan memberi perhatian terhadap kehidupan kita. Mereka mengambil tahu tentang kesihatan, emosi, fizikal, kerjaya, keluarga dan seputar kehidupan yang kita lalui. Mereka menunjukkan keprihatinan dan membantu sekiranya kita memerlukan pertolongan mereka. Sahabat jugalah yang akan menitipkan doa buat kesejahteraan kita walau di mana kita berada terutama sekali apabila kita berada dalam kesusahan. Andai kita berada dalam kesakitan, merekalah antara penawar mujarab dengan gurauan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi.

Islam sendiri menggalakkan untuk kita menjalinkan persahabatan dengan sesiapa sahaja asalkan kita tahu menjaga batasan persahabatan dan memilih sahabat yang baik yang boleh melorongkan kita ke arah kebaikan iaitu yang mentaati Allah SWT dan Rasul-Nya.

Nabi Muhammad SAW pernah mengibaratkan ikatan persahabatan antara dua orang muslim dengan kedua belah tangan. Baginda tidak menggunakan perumpamaan lain kerana jalinan hubungan antara kedua-dua tangan sangat tepat untuk dijadikan ibarat dalam menggambarkan tentang hubungan sesama manusia. Kita boleh melihat bagaimana kedua belah tangan saling membantu satu sama lain dalam usaha mencapai sesuatu tujuan. Kedua-duanya bersatu menjadi satu untuk mencapai tujuan yang sama.  Sebagai contoh, ketika mengangkat kotak yang berat dan besar. Bukankah kedua-dua belah tangan memerlukan antara satu sama lain?

Ikatan persahabatan terjalin atas paksi kasih sayang, saling mengambil berat dan memberi perhatian di saat susah dan senang. Sekian lama bersahabat, sudah tentu masing-masing sudah memahami sikap dan perangai sahabat sendiri. Ada masa kita boleh bertelagah atau berselisih pendapat tetapi itu adalah rencah yang memberi kemanisan dalam persabahatan. Sahabat yang baik sahabat yang mampu menegur kita saat kita melakukan kesilapan. Juga mampu memberi pandangan dan nasihat yang wajar. Sebab itu, mereka penting dan sebagai hamba Allah kita disaran untuk menjaga ikatan tersebut dengan perasaan ikhlas, jujur dan setia. Bukan untuk kepentingan sesuatu atau sebagainya.

Bersahabatlah kerana dunia kita tidak lengkap tanpa peneman-peneman yang setia ini. Hubungilah mereka andai kita sudah melupakan mereka. Jalinkanlah ikatan yang murni dan semoga Allah memelihara persahabatan tersebut sentiasa dalam lindungan-Nya. Dijauhkan daripada fitnah dan sifat dengki yang mampu meleraikan ikatan itu.

Di kesempatan Syawal yang masih berbaki ini, luangkanlah masa bertemu dengan teman-teman yang daripada kunjungan itu boleh jadi mereka akan menjadi sahabat setia kita suatu hari nanti.

Editor.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *